Graduan
Cina dapat manfaat
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17/7/2012
KUALA LUMPUR 12 Julai - Seramai 12,529 peminjam
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperoleh ijazah
sarjana muda dengan kepujian kelas pertama dikecualikan daripada pembayaran
balik pinjaman. Keputusan itu menyaksikan PTPTN melupuskan RM359.3 juta hutang
pinjaman mereka dengan pelajar Cina mendapat manfaat paling tinggi iaitu
seramai 9,293 orang dikecualikan pembayaran balik kerana mencatatkan pencapaian
akademik cemerlang. Pelajar Melayu yang dikecualikan bayaran balik adalah
seramai 2,608 orang diikuti India (476 pelajar), bumiputera Sabah (51 pelajar),
bumiputera Sarawak (39 pelajar) dan lain-lain (62 pelajar). Timbalan Menteri
Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kerajaan juga telah
bersetuju pada 15 Jun lalu untuk meluluskan pengecualian sama ke atas 4,430
graduan yang tamat pengajian dari 2005 hingga 2009. "Mereka ini peminjam
kategori sama (ijazah kelas pertama) dan dengan persetujuan baru itu, PTPTN
akan melupuskan pinjaman mereka berjumlah RM116 juta," katanya menjawab
soalan Senator Lee Cheam Choon di Dewan Negara hari ini. Terdahulu, beliau
mengulangi pendirian kerajaan yang tidak bercadang memberi pendidikan secara
percuma di peringkat universiti walaupun pembangkang menjadikan isu tersebut
sebagai usaha 'populis' untuk memancing undi. Katanya, sehingga kini komitmen
PTPTN untuk membantu pelajar cukup besar iaitu berjumlah RM48 bilion dan bagi
kerajaan, bantuan pinjaman melalui badan tersebut adalah sistem yang paling
cekap. Sementara itu ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Lim Nget Yoon
yang ingin tahu jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan
kursus perubatan, Kok Chung berkata, terdapat 21 IPTS berbuat demikian di
seluruh negara. "Bagi memastikan kelayakan pensyarah-pensyarah di IPTS ini
pula, hanya pensyarah yang berkelayakan dilantik dan mereka perlu memiliki
permit mengajar yang disahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment