Monday, July 16, 2012





Penubuhan Universiti Islam Malaysia (UIM) sebagai universiti wakaf kini berada di peringkat akhir dan kertas cadangannya akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penubuhan itu telahpun mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, cuma antara yang masih diperhalusi adalah sama ada ia diletakkan di bawah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS). "Kalau IPTS tentunya kita faham agak mudah untuk direalisasi cuma untuk IPTA ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan seperti sama ada ia harus ditadbir sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi atau berada di bawah naungan Majlis Raja-Raja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Wakaf Menjana Ekonomi' di Putrajaya Isnin. Bernama melaporkan turut hadir Pengerusi Majlis UIM Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Datuk Anan C. Mohd. Jamil Khir berkata penubuhan universiti itu diasaskan daripada Kolej Islam Malaya (KIM) yang ditubuhkan hasil wakaf orang ramai dan Sultan Selangor pada masa itu Sultan Hisamuddin Alam Shah selepas perang dunia kedua.-16/7/2012






No comments:

Post a Comment