Saturday, December 31, 2011


1.1 PENGENALAN

            Secara umum, globalisasi bermaksud keadaan dunia secara am atau keseluruhannya.  Globalisasi juga membawa maksud perpindahan isme, nilai, dan fahaman dari satu pusat ke daerah-daerah yang lain.  Perpindahan nilai boleh berlaku melalui penjajahan, penaklukan daerah, pendidikan, dan peranan media.  Bertherton (1966) menggariskan empat aspek asas dalam proses globalisasi iaitu perkembangan teknologi maklumat, internet, perubahan ekonomi sejagat, globalisasi politik, dan pensejagatan idea.   Manakala globalisasi dari sudut politik pula adalah semakin mengecil dan berkurangnya peranan nation-state atau negara bangsa untuk menguruskan soal berkaitan tuntutan dan pemeliharaan hak-hak sivil rakyat, sebaliknya prospek pengendalian diambil alih oleh organisasi supranasional sama ada pada peringkat serantau atau sejagat (Frankel 1970).

            Pada masa kini, globalisasi telah menjadi satu buzz-word yang digunakan oleh pelbagai pihak tetapi ia seringkali disalahtafsirkan.  Proses globalisasi pula adalah satu fenomena atau keadaan di mana dunia dan hubungan antara negara dan penghuninya menjadi semakin cepat dengan adanya bantuan teknologi maklumat dan perkembangan ekonomi kapitalisme. Contohnya, pelaburan langsung MNC dan perkongsian nilai kehidupan sejagat.  Sebagai satu proses transformasi dunia, globalisasi dikatakan bermula kira-kira dua dekad yang lalu dengan terbentuknya satu ekonomi global yang berbeza daripada ekonomi dunia.  Jika dirujuk dari sudut analisis, globalisasi merupakan suatu fenomena yang multi dimensi, yang meliputi ekonomi, politik, budaya, dan ideologi dan bukannya hanya merangkumi dimensi ekonomi, perdagangan, dan teknologi semata-mata.  Oleh itu, proses globalisasi melibatkan segenap aspek kehidupan masyarakat dan kesejagatan negara bangsa.  Ia juga boleh dikatakan sebagai satu fenomena sedunia yang muncul hasil daripada cantuman pelbagai proses transnasional dan struktur domestik yang membolehkan ekonomi, politik, budaya, dan ideologi sesuatu negara menerobos atau menembusi sempadan negara lain (Noraini ; Summit 2000:29).  Ini bolehlah dikaitkan dengan konsep pengurangan kedaulatan negara, keterobosan sempadan, kecanggihan teknologi, pengecilan dunia, dan pengembangan transaksi perdagangan yang berasaskan kepada pemikiran perdagangan bebas (Mahfuzah, Rashila, Zaini 1999:6).  Dalam hal ini, globalisasi melibatkan pemampatan masa dan ruang dari hubungan sosial dan kemunculan kesedaran global mengenai pemampatan tersebut (Noraini & Sumit 2000:29).

Tuesday, December 27, 2011

The Globalization Of World Politics
SKAD 3383 Globalisasi Dan Pembangunan
ABDULLAH SANI BIN MOHD ZIN
Matrix A126639

Sunday, December 25, 2011

SKAD 3383


GLOBALISASI DAN PEMBANGUNAN NEGARA





TAJUK TUGASAN


ALAM SEKITAR





DISEDIAKAN OLEH





HAJI ABDULLAH SANI BIN MOHD ZIN


NO. MATRIKS A 126639








PENSYARAH @ PENYELARAS KURSUS





YBHG PROFESOR MADYA DR. HAMZAH BIN JUSOH


YBHG PROFESOR MADYA DR. JALALUDDIN BIN ABDUL MALEK


YBHG DR. AZMI BIN AZIZ





TARIKH / MASA KULIAH @ TUTORIAL


HARI RABU


JAM 10.00 PAGI – 12.00 TENGAHARI





ALAM SEKITAR



ABSTRAK





Manusia telah diutuskan sebagai khalifah untuk mentadbir dan menjaga alam ini sesuai dengan fitrahnya sebagai makhluk yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Berpandukan wahyu yang tersurat sebagai Al-Quran, manusia diajar, dididik dan diberi panduan tentang bagaimana untuk mentadbir alam ini melalui perantaraan utusan Allah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Alam sekitar merupakan sebahagian daripada juzuk alam musyahadah yang dicipta Allah untuk kepentingan manusia. Bahkan manusia sentiasa berhubung dengan alam sekitar untuk meneruskan kelangsungan hidupnya dengan alam sekitar menyediakan pelbagai sumber untuk keperluan manusia seperti udara, air, hutan dan sumber galian. Maka lahirlah satu rantaian hubungan yang signifikan antara manusia dan alam sekitar. Justeru, Al-Quran telah menggariskan beberapa peraturan dan undang-undang tentang bagaimana manusia boleh berhubungan dengan alam sekitar supaya hubungan tersebut saling memberi manfaat bukan mudharat antara satu sama lain. Oleh itu kertas kerja ini cuba mengupas sudut falsafah alam sekitar dari kaca mata Al-Quran sebagai kitab dan panduan hidup setiap muslim.





PENGENALAN





Perkembangan mutakhir dunia kini mempamerkan keprihatinan masyarakat terhadap isu dan persoalan alam sekitar. Berbagai bentuk wacana ilmu berkaitan krisis alam sekitar dianjurkan sama ada persidangan, forum, dialog, seminar, laporan akhbar dan sebagainya. Malah semua pihak tidak ketinggalan menyertai setiap perkembangan sekiranya sesuatu isu persekitaran tercetus sama ada pihak kerajaan, swasta mahupun media massa.





Secara sedar ataupun tidak, manusia telah sekian lama mencemar atau merosakkan alam sekitar dengan pelbagai bentuk perlakuan dan tindakan. Sebenarnya kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar telahpun direkodkan sejak abad kelapan belas dan kesembilan belas lagi (Jamaluddin 1996). Semua itu berlaku justeru manusia cuba memenuhi sebahagian daripada tuntutan dan keperluan mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini. Alam sekitar secara hakikatnya adalah tempat manusia mencari dan meneroka khazanah serta sumberjayanya untuk tujuan tersebut.





Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling mulia dengan tanggungjawab sebagai khalifah atau pemimpin di bumi ini. Manusia dicipta dan utuskan ke bumi ini tidak secara bersendirian, malah mereka dibekalkan dengan segala bentuk peraturan dan garis panduan yang terkandung dan tersurat sebagai kitab suci Al-Quran.





Justeru, kertas kerja ini cuba melihat perkaitan tiga elemen di atas iaitu alam sekitar, manusia dan Al-Quran dalam mengupas isu-isu persekitaran yang semakin mencabar konsiderasi manusia sejagat dari sudut falsafah alam sekitar.





Manusia dan Alam Sekitar dari Kaca Mata al-Quran





Alam semester ini adalah ciptaan Tuhan yang terdiri daripada alam musyahadah dan alam ghaib. Alam musyahadah ialah alam sekitar fizikal yang kandungannya dapat dilihat dengan pacaindera atau ditanggap dengan akal. Alam ghaib pula ialah alam yang tidak dapat dilihat atau ditanggap dengan pancaindera atau akal seperti alam roh dan alam akhirat. Alam ghaib ini hanya dapat diyakini dan difahami melalui iman atau kepercayaan yang sungguh-sunggu terhadap Tuhan Yang Maha Pencipta (Abu Bakar 1998)





Alam musyahadah atau alam sekitar fizikal yang dapat dilihat oleh pancaindera itu dapat dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu atmosfera, hidrosfera, litosfera dan biosfera yang sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain di dalam keadaan yang sentiasa menuju kepada keseimbangan dinamik dan tidak menimbulkan banyak masalah (Jamaluddin 1998).





Manusia adalah makhluk ciptaan Allah dengan sebaik-baik kejadian. Dianegerahi akal dan fikiran serta dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan memakmurkan alam ini berdasarkan wahyu dan ajaran, peraturan dan ketetapan, syariat dan perundangan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t yang terkandung dan tersurat di dalam Al-Quran.


Alam sekitar rmerupakan salah satu unsur alam tabii (nature) ciptaan-Nya. Ruang lingkup alam tabii begitu luas, bukan hanya terangkum dalam aspek biologi, kimia dan fizik, bahkan melibatkan aspek metafizik. Berdasarkan perspektif Islam, alam tabii tergolong dalam bidang pengajian sains kosmologi dan sains ini berkait rapat dengan ilmu wahyu (Zaini 1993).





Hubungan Manusia dan Alam Sekitar





Manusia merupakan kejadian yang istimewa berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah. Ia dibekalkan dengan akal fikiran untuk menguasai ilmu pengetahuan. Berbekalkan potensi yang sedemikian manusia berupaya untuk membangun dan memakmurkan dunia. Hal ini sesuai dengan matlamat penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan mewarisi kekayaan yang terdapat di perut bumi dan di dasar lautan. Jelas, bahawa Allah jadikan dunia (persekitaran fizikal) dan apa jua yang terkandung di dalamnya untuk keselesaan dan kesejahteraan manusia (Abdul Monir 1998).





Hubungan manusia dan alam sekitar boleh dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertama, manusia diberi tanggungjawab untuk memakmurkan dunia dan mengambil faedah daripada pembangunan. Hal ini bertepatan dengan fungsi manusia sebagai khalifah di mukabumi ini. Kedua, manusia perlu memikirkan dan mengambil iktibar dari kejadian alam yang begitu lengkap dan sempurna serta mendekatkan diri dengan Allah yang menciptanya. Firman Allah yang bermaksud :


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, pada kapal yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia, demikian juga air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan tumbuh-tumbuhan di bumi ini” (al-Baqarah : 164).





Manusia dan alam sekitar merupakan dua komponen penting di alam ini yang saling berhubungan di antara satu sama lain. Sebarang perubahan ke atas satu entiti tersebut akan menyebabkan entiti yang lain turut akan berubah. Hubungan manusia dengan alam sekitar dapat ditinjau berdasarkan beberapa tahap, daripada tahap asal atau awal yang mudah sehingga kepada tahap yang kompleks dan canggih masa ini. Pada tahap awal yang mudah pertalian ini dapat dilihat melalui kewujudan manusia dan bumi (alam sekitar fizikal) (Jamaluddin 1996).





Hubungan manusia dan alam sekitar pada tahap yang lebih kompleks adalah berasaskan pandangan bahawa manusia adalah sebahagian daripada alam sekitar. Ia lahir daripada pandangan santifik yang membezakan manusia dengan haiwan lain, berdasarkan fakta bahawa manusia mempunyai daya berfikir yang lebih tinggi. Oleh itu manusia mempunyai keperluan yang tersendiri dan perbezaan ini membolehkan kita membahagikan bumi ini kepada dua sisitem ysang utama, iaitu sistem alam sekitar fizikal dan sistem persekitaran manusia dan kegiatannya (Jamaluddin, 1996).




Manusia dan Masalah Pencemaran Alam Sekitar






Alam sekitar fizikal bukan hanya menawarkan tapak untuk manusia menjalankan aktiviti sehariannya, tetapi juga merupakan sistem bantuan kehidupan yang tidak ternilai. Manusia yang bebas menggunakannya untuk tujuan pembangunan dan peningkatan taraf hidup kadang kala lupa bahawa sesuatu tindakan yang mereka lakukan boleh dan akan mempengaruhi perkara-perkara lain. Tindakan manusia akan mewujudkan perubahan dan boleh menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar. Kemerosotan kualiti alam sekitar bermula sebaik sahaja tekanan aktiviti manusia yang mencetuskan perubahan terhadap persekitaran fizikal sudah tidak dapat ditampung oleh persekitaran itu (Jamaluddin Md. Jahi 2000).





Berdasarkan beberapa ayat al-Quran, kerosakan alam sekitar ini disebabkan oleh dua faktor utama sama ada faktor semulajadi atau tindakan manusia. Firman Allah yang bermaksud :


“telah zahir (nyata) segala kerosakan yang berlaku di daratan atau di lautan itu, disebabkan oleh apa yang dilakukan oleh kedua-dua tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (balasan) perbuatan yang mereka lakukan, mudah-mudahan mereka kembali (bertaubat)’


(Ar-Rum : 41).





Manusia dikatakan menggunakan sumber semulajadi untuk kepentingan ekonomi semata-mata dan meminggirkan persoalan alam sekitar di dalam perencanaan pembanganunan duniawi. Pertimbangan yang mengenepikan wajaran yang adil terhadap alam sekitar inilah yang menjadi katalis kepada kerosakan alam sekitar. Sedangkan Allah tidak mengutuskan manusia dan makhluk lainnya ke alam ini bukan untuk merosakkan tetapi sebaliknya sebagai seorang hamba yang perlu mengabdikan diri kepadaNya. (Mohd Bustaman 1997). Firman Allah yang bermaksud :


“Tidakku utuskan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepadaku” (Surah :





Sekiranya manusia sedar akan tanggunjawabnya sebagai seorang hamba Allah, sudah pasti mereka tidak akan melakukan kerosakan di alam ini. Sekiranya amanah ini tidak dilaksanakan, maka manusia telah ingkar. Setiap keingkaran yang dilakukan itu merupakan penentangan kepada hukum Allah dan setiap penentangan itu merupakan satu dosa yang sudah pasti akan dibalas kelak.





Justeru, Islam meletakkan hukum halal dan haram sebagai satu etika yang boleh melentur setiap tindakan umatnya. Namun, etika ini hanyalah dipatuhi oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah yang diertikatakan sebagai manusia yang bertaqwa. Konsep ketaqwaan ini merupakan manifestasi keseluruhan etika yang disaran, diwajib dan ditetapkan oleh Allah kepada hambaNya. Sekiranya ketaqwaan itu tinggi, maka tinggilah etika hidup seseorang itu, dan sebaliknya ketaqwaan yang rendah akan merendahkan darjat dan martabat seseorang itu.




Al-Quran dan Falsafah Alam Sekitar






Alam sekitar sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan tempat tinggal, makanan, minuman dan lain-lain kemudahan, Kesemua keperluan dan kemudahan ini melibatkan penerokaan alam sekitar sama ada untuk mendirikan bangunan, mendapatkan makanan dan minuman atau sumber jaya yang penting bagi menjamin kelansungan dan kesejahteraan hidup manusia.





Namun begitu, perkara yang lebih penting bagi manusia berkaitan alam sekitar ialah untuk memperjelaskan lagi sifat-sifat Allah dan pembangkit kesedaran tentang sifat ketuhanan. Alam tabii juga merupakan simbol yang memberi petunjuk bagi memudahkan manusia dalam menempuh cabaran kehidupan. Bulan, bintang dan matahari misalnya menjadi petunjuk arah dan waktu, di samping menjadi petunjuk tentang betapa hebatnya sifat Allah s.w.t. (Zaini 1993).





Di samping mengetahui manfaat alam sekitar kepada manusia, kewujudan dan konsep manusia mestilah juga difahami setepatnya bagi memahami konsep Islam terhadap alam tabii. Hal ini penting kerana manusia merupakan central being dalam alam tabii dan mempunyai tempat atau kedudukannya yang khusus dalam struktur alam tabii. Hakikatnya manusia merupakan sebahagian daripada alam tabii, tetapi manusia mempunyai peranan dan keistimewaannya yang tersendiri berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain (Zaini 1993).





Setiap kejadian dan ciptaan di alam ini bertujuan untuk memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada manusia. Manusia berhak ke atas ciptaan Allah untuk menjamin kelangsungan hidup di alam ini. Komponen alam sekitar seperti air dan udara serta sumber galiannya adalah juzuk-juzuk penting untuk aktiviti pembangunan sesebuah negara. Dengan ini, manusia akan mempergunakan alam sekitar untuk tujuan tersebut dan sekiranya manusia tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, alam sekitar mengalami kerosakan.





Berkaitan hal ini, Allah telah menetapkan etika-etika tertentu tentang bagaimana manusia boleh bertindak ke atas alam sekitar yang merupakan sebahagian daripada ciptaan Allah dengan firmannya yang bermaksud :


‘dan janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas). Sesungguhnya Allah membenci mereka yang berlebih-lebihan’


(Al-Maidah : 87).





Manakala di dalam surah Al-Qashash pula, Allah menegaskan bahawa perbuatan berlebihan-lebihan iaitu eksploitasi secara melampaui terhadap alam sekitar itu suatu perbuatan yang amat dibenci olehNya . Firman Allah yang bermaksud :


‘dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi ini, sesungguhnya Allah membenci mereka yang melakukan kerosakan’ (al-Qashash : 77).





Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelas memperlihatkan unsur-unsur etika yang seharusnya dipatuhi dan dipraktikkan oleh manusia terhadap alam ini sekiranya mereka ingin selamat dari segala bentuk ancaman alam sekitar sama ada disebabkan oleh manusia atau ancaman tabii. Manusia harus bertanya kepada diri sendiri, sama ada tindakannya mengeksploitasi alam sekitar itu akan memberi kesan berbalik kepeda mereka atau tidak.





Penutup






Adalah penting sekali diingatkan bahawa al_Quran bukanlah sebuah buku teks sains yang mengandungi huraian-huraian terperinci tentang segala kejadian dan unsur-unsurnya. Ia hanya memberi kerangka kasar atau clue dan terpulanglah kepada manusia untuk menggunakan pemikiran yang diberi untuk mengkaji dan mengamati sesuatu dengan cara yang lebih teliti (Zakaria, 1991).


Bumi yang dipijak, langit yang dijunjung dan alam sekitar seluruhnya adalah anugerah Allah yang terlalu tinggi nilainya. Tanggungjawab manusialah untuk memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin. Sewajarnyalah, manusia yang dibekalkan dengan akal yang sempurna memikirkan akibat yang akan terjadi hasil dari tindakan yang dilakukan hari ini. Masa depan manusia dan alam sekitar yang cemerlang sebenarnya terletak pada corak kehidupan yang kita amalkan sekarang (Abu Bakar 1998).





Justeru, melalui amalan etika alam sekitar yang disarankan oleh al-Quran adalah sebaik-baik panduan untuk manusia berinteraksi dengan persekitaran sejagat sekiranya manusia ingin bebas dari ancaman dan tindak-balas berbalik oleh persekitaran seperti kejadian tanah runtuh dan sebagainya.





Rujukan






Abdul Monir Yaacob. 1998. Manusia. Dlm. Abu Bakar Yang (pnyt.), Alam sekitar anugerah Tuhan: 95-100. Kuala Lumpur : Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains dan Teknologi & Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).





Abu Bakar Abdul Majeed. 1998. Alam sekitar. Dlm. Abu Bakar Yang (pnyt.), Alam sekitar anugerah Tuhan: 1-12. Kuala Lumpur : Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains dan Teknologi & Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).





Jamaluddin Md Jahi. 2000. Pengurusan alam sekitar di Malaysia : Isu dan cabaran. Dlm. Jamaluddin Md. Jahi (pnyt.), Pengurusan persekitaran di Malaysia: isu dan cabaran. Bangi. 9 - 29.





Jamaluddin Md. Jahi. 1996. Impak pembangunan terhadap alam sekitar. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.





Jamaluddin Md. Jahi. 1998. Persekitaran fizikal dan keperluan manusia: antara undang-undang, pengurusan dan kekangan. Seminar FSKK Ke-3: Peranan ilmu sains kemasyarakatan dan kemanusiaan dalam pembangunan negara. Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM, Bangi, 10-19 Ogos.





Mohd Bustaman Abdul Aziz. 1997. Al-Quran, manusia dan alam sekitar: 61-61. Majalah Backbench. Kuala Lumpur.





Mohd Bustaman Abdul Aziz, Samsu Adabi Mamat. 2001.Al-Quran, Manusia, Dan Falsafah



Alam Sekitar. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.






Zaini Ujang. 1993. Islam dan alam sekitar. Dlm. Zaini Ujang, Seyyed Hossein Nasr & Ziauddin Sardar, Islam dan alam sekitar: 1-49. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.





Zakaria Awang Soh. 1991. Kecanggihan alam semester: antara wahyu dengan pengetahuan sains. Siri Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, 19 Februari. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

abdullah  sani  bin  mohd  zin  A 126639


MANUSIA  dAN  Alam  Sekitar :


hubungannya dari perspektif islam


Surah An-Naziaat ayat 30-33 yang bermaksud: “ Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pasak yang menetapnya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu “. Nabi Muhamad S.A.W  pula bersabda yang bermaksud : “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan “. (Hadis riwayat Muslim). Alam sekitar aset paling bernilai dianugerahkan Allah S.W.T kepada manusia dan seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah. Dengan hamparan hutan menghijau, sungai membekalkan sumber air, bukit-bukau dan gunung-ganang terpacak kukuh memukau mata memandang. Demikian indahnya khazanah alam ciptaan Allah untuk manusia agar dapat melalui kehidupan di dunia dalam aman sejahtera dan tenteram jiwa. Namun, arus pemodenan dan pembangunan sudah menghanyut dan melalaikan manusia sehingga sewenang-wenangnya menodai sumber alam tanpa memikirkan akibatnya. Contohnya sungai, jika dulu ia menjadi sumber kehidupan, malah faktor sungai mewujudkan tamadun awal dunia. Tamadun Mesir terbina lantaran adanya sungai Nil yang menjadi pembekal sumber air dan sumber protin kepada penduduknya. Begitulah juga sungai Nil menjadi penghubung penting sama ada menghubungkan kawasan pedalaman atau luar. Di negara kita pun apa kurangnya dengan tamadun di Lembah Bujang, Kedah, yang wujud kerana faktor sungai. Itu semua tinggalan sejarah. Sungai sekarang menjadi ‘lokasi utama’ untuk membuang sampah dan sisa pepejal yang mengundang pencemaran yang mengancam ekologi kehidupan air. Air sungai menjadi tidak selamat lagi untuk diminum, malah kadar toksiknya menyebabkan pelbagai penyakit. Lantaran kroniknya keadaan sungai di negara kita, pada 1993 kerajaan melancarkan Kempen Cintai Sungai Kita untuk menyedarkan masyarakat agar sentiasa peka dan menjaga kebersihan sungai demi kesihatan dan generasi akan datang. Bagaimana kesannya kempen berkenaan? Adakah ia banyak menginsafkan rakyat Malaysia mengenai kesan buruk jika sungai kotor dan penuh bahan toksik? Jika kita perhatikan secara teliti, kempen itu seakan-akan bergerak di sebelah pihak saja, maksudnya kerajaan dan beberapa syarikat swasta atau badan bukan kerajaan yang bersungguh-sungguh menjayakannya, sedangkan masyarakat memandang ringan sahaja. Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk membaik pulih dan memelihara sungai supaya bersih dan selamat digunakan sedangkan masyarakat dan sesetengah kilang memusnahkan kembali sungai. Sisa toksik dan pepejal kilang dengan mudah disalurkan ke dalam sungai tanpa rasa bersalah. Pelbagai akta digubal dan dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan alam sekitar, termasuk sungai, namun apa yang ketara berita pencemaran sungai masih berlaku. Inilah akibatnya jika manusia hanya nampak aspek keuntungan yang bersifat sementara, tetapi kesan jangka panjang tidak diambil kira. Di sini jelas menampakkan kurangnya kerjasama dan keprihatinan rakyat dalam menjaga kebersihan sungai. Langkah pembetulan sikap dan anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat. Malah, sungai bersih dan indah akan menjadi tarikan pelancong, tetapi jika kotor dan penuh sampah-sarap ia menggambarkan sikap buruk masyarakat kita di mata pelancong luar. Justeru, sikap tidak cakna menjaga kebersihan sungai mesti dipulihkan segera. Khazanah hutan turut mengalami nasib sama. Apa yang terjadi memang menyedihkan apabila kawasan hutan belantara semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan. Penebangan balak secara besar-besaran tanpa kawalan dan tanpa pendekatan pemuliharaan yang baik boleh melenyapkan warisan negara yang amat bernilai. Hidupan liar akan pupus akibat kerakusan manusia. Kita tahu negara ada kawasan hutan diwartakan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan tetapi kawasan hutan yang lain seharusnya dikawal supaya spesies hidupan liar berada di habitat sepatutnya dan sentiasa kekal membiak demi ekologi hutan. Hutan rimbun menghijau menjadi lokasi pelancongan sangat digemari pelancong, sekali gus menjadi sumber ekonomi kepada Malaysia. Kita tidak mahu melihat lagi seperti dilaporkan dalam akhbar di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah, baru-baru ini. Ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan beratus-ratus pokok balak, termasuk kayu berkualiti ditebang. Kejadian itu menggambarkan sikap buruk sesetengah pihak yang tidak mengendahkan undang-undang dan bertindak menurut nafsu serakah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekologi hutan dan habitat hidupan liar di kawasan itu. Banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan. Lantas, kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain. Walaupun negara kita sudah ada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kesedaran rakyat mengenai kepentingan hutan dan hidupan liar harus digembleng secara proaktif untuk mewujudkan rakyat yang mencintai khazanah alam sekitar. Satu lagi tabiat buruk mengganggu alam sekitar ialah sikap membuang sampah di merata tempat. Menurut kajian, umumnya setiap pengguna di Malaysia dianggarkan mewujudkan 0.9 hingga 1 kilogram sampah-sarap atau sisa setiap hari. Pengguna kita dianggarkan menjana lebih kurang 20 tan metrik sampah-sarap setiap tahun. Dalam hal ini, senario sampah-sarap berselerak di merata kawasan tanpa mengendahkan undang-undang yang terpampang pada papan tanda amaran menjadi pemandangan lazim. Sikap begini seharusnya sudah lama pupus dalam diri setiap rakyat Malaysia kerana negara sudah membangun. Usaha memupuk kesedaran wajar dimulakan sejak usia muda, jadi ibu bapa mesti menjadi penggerak utama. Begitu juga di sekolah, satu kurikulum perlu digubal sebagai mata pelajaran supaya generasi pelapis negara dapat menanam sikap mencintai alam sekitar di jiwa masing-masing. Kegiatan kokurikulum juga boleh dijadikan wadah berkesan dengan menubuhkan kelab alam sekitar atau kelab pencinta alam. Ingatlah amaran Allah dalam Surah An-Naziaat ayat 30-33 yang bermaksud: “ Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pasak yang menetapnya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu “. Nabi Muhamad S.A.W pula berpesan yang bermaksud: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan “. (Hadis riwayat Muslim). Memandangkan dunia sedang berdepan dengan isu pemanasan global yang semakin serius masyarakat diharapkan dapat menjadi pengguna yang perihatin terhadap alam sekitar. Persoalannya, sejauh manakah pencapaian kita sebagai pengguna yang lestari? Setakat ini, tidak ramai yang begitu menitikberatkan perkara seperti penjimatan elektrik, pembaziran tenaga, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Tahap kesedaran pengguna Malaysia masih rendah. Malah, mereka boleh dikatakan masih berada di peringkat awal dalam meletakkan diri sebagai pengguna lestari. Amalan pengunaan lestari sebenarnya amat mudah untuk dipraktikkan oleh pengguna. Antaranya, mereka boleh berbelanja secara berhemat, menjimatkan pengunaan sumber air, tenaga dan bahan bakar, menggunakan bahan-bahan yang tidak mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar serta menggunakan teknologi bersih dan juga mesra alam. Untuk menggalakkan amalan penggunaan lestari ini, masyarakat perlu belajar berbelanja mengikut keperluan mereka. Rancang dulu perbelanjaan anda. Sebaiknya, buat senarai barangan yang diperlukan dan belilah barangan hanya bila ia diperlukan. Satu kemestian apabila membeli barangan ialah membaca lebel secara terperinci. Label mengandungi maklumat asas seperti kandungan pemakanan, tarikh luput, logo-logo berkaitan alam sekitar ataupun sama ada ia diperbuat daripada hasil bahan kitar semula. Apabila membeli, lihat pada pembungkusan produk tidak kira bekas, botol atau kotak. Beli produk yang menyokong pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula. Cara ini dapat mengurangkan terhasilnya sisa pepejal. Ketika keluar membeli-belah juga amalkan membawa bersama beg sendiri dari rumah. Elakkan menggunakan beg plastik terutamanya yang memakan masa untuk dilupuskan. Sebabnya, salah satu daripada sampah yang sering dibuang adalah pembungkus barangan harian yang dibeli termasuk beg plastik yang digunakan untuk membawa barangan tersebut. Mungkin tidak semua barangan perlu dibeli. Contohnya, anda boleh menanam sendiri sayuran di kawasan rumah termasuk menggunakan teknik hidroponik yang tururt menjurus kepada amalan pengunaan lestari. Malah, cara ini bukan sahaja dapat memastikan sayuran yang dimakan segar dan bebas bahan kimia racun perosak, tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga. Selain itu, pengguna juga boleh menjimatkan sumber bahan bakar dengan berusaha mengurangkan pengunaan kenderaan untuk ketempat-tempat yang berdekatan. Bercerita tentang penjimatan ini, pengguna juga perlu mengambil kira pengunaan peralatan elektrik di rumah kerana ia juga merupakan antara penyumbang utama kepada pembaziran tenaga dan turut mempercepatkan pemanasan global. Mulakan dengan membeli peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga. Kini, banyak jenama telah mengambil langkah mengeluarkan produk penjimatan tenaga dalam usaha untuk mengurangkan pemanasan global. Ataupun, pilih barangan yang bersesuaian seperti pengunaan lampu kalimantang yang empat kali lebih cerah daripada mentol  walaupun kedua-duanya menggunakan kuasa watt yang sama. Malah ia juga tahan lapan kali lebih lama berbanding mentol. Sekiranya semua ini diamalkan, ia bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih sihat malah mampu mengekalkan kehijauan alam serta menjimatkan perbelanjaan. Jadi, ubahlah sikap bermula hari ini. Jadilah penguna yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan ia dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang. 

RUJUKAN

Harian Metro, 4 Februari 2009

Utusan Malaysia

ALAM  SEKITAR



Alam sekitar aset paling bernilai dianugerahkan Allah S.W.T kepada manusia dan seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah. Dengan hamparan hutan menghijau, sungai membekalkan sumber air, bukit-bukau dan gunung-ganang terpacak kukuh memukau mata memandang. Demikian indahnya khazanah alam ciptaan Allah untuk manusia agar dapat melalui kehidupan di dunia dalam aman sejahtera dan tenteram jiwa. Namun, arus pemodenan dan pembangunan sudah menghanyut dan melalaikan manusia sehingga sewenang-wenangnya menodai sumber alam tanpa memikirkan akibatnya. Esei ini akan menerangkan kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar dan tindakan yang perlu untuk mengatasi masalah ini.



 Apa yang terjadi memang menyedihkan apabila kawasan hutan belantara semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan. Penebangan balak secara besar-besaran tanpa kawalan dan tanpa pendekatan pemuliharaan yang baik boleh melenyapkan warisan negara yang amat bernilai. Hidupan liar akan pupus akibat kerakusan manusia. Kita tahu negara ada kawasan hutan diwartakan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan tetapi kawasan hutan yang lain seharusnya dikawal supaya spesies hidupan liar berada di habitat sepatutnya dan sentiasa kekal membiak demi ekologi hutan. Kita tidak mahu melihat lagi seperti dilaporkan dalam akhbar di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah, baru-baru ini. Ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan beratus-ratus pokok balak, termasuk kayu berkualiti ditebang. Kejadian itu menggambarkan sikap buruk sesetengah pihak yang tidak mengendahkan undang-undang dan bertindak menurut nafsu serakah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekologi hutan dan habitat hidupan liar di kawasan itu. Banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan. Lantas, kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain.



Satu lagi tabiat buruk mengganggu alam sekitar ialah sikap membuang sampah di merata tempat. Menurut kajian, umumnya setiap pengguna di Malaysia dianggarkan mewujudkan 0.9 hingga 1 kilogram sampah-sarap atau sisa setiap hari. Pengguna kita dianggarkan menjana lebih kurang 20 tan metrik sampah-sarap setiap tahun. Dalam hal ini, senario sampah-sarap berselerak di merata kawasan tanpa mengendahkan undang-undang yang terpampang pada papan tanda amaran menjadi pemandangan lazim. Seringkali kita lihat orang yang tidak bertanggungjawab ini gemar untuk membuang sampah dicelah-celah pokok bunga, dalam pasu pokok bunga, dalam longkang dan sebagainya. Pembakaran sampah secara terbuka turut menyumbang ke arah kemusnahan alam sekitar. Contoh lain, orang ramai suka membuang sampah ke dalam sungai. Kesannya ialah merosakkan sungai, membahayakan hidupan akuatik dan boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan banjir mudah berlaku.



Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah kerosakan alam yang dilakukan oleh manusia ialah berusaha membentuk masyarakat yang lestari. Amalan pengunaan lestari sebenarnya amat mudah untuk dipraktikkan oleh pengguna. Untuk menggalakkan amalan penggunaan lestari ini, masyarakat perlu belajar berbelanja mengikut keperluan mereka. Rancang dulu  perbelanjaan anda. Sebaiknya, buat senarai barangan yang diperlukan dan belilah barangan hanya bila ia diperlukan. Satu kemestian apabila membeli barangan ialah membaca label secara terperinci. Label mengandungi maklumat asas seperti kandungan pemakanan, tarikh luput, logo-logo berkaitan alam sekitar ataupun sama ada ia diperbuat daripada hasil bahan kitar semula. Apabila membeli, lihat pada pembungkusan produk tidak kira bekas, botol atau kotak. Beli produk yang menyokong pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula. Cara ini dapat mengurangkan terhasilnya sisa pepejal. Ketika keluar membeli-belah juga amalkan membawa bersama beg sendiri dari rumah. Elakkan menggunakan beg plastik terutamanya yang memakan masa untuk dilupuskan. Sebabnya, salah satu daripada sampah yang sering dibuang adalah pembungkus barangan harian yang dibeli termasuk beg plastik yang digunakan untuk membawa barangan tersebut. Mungkin tidak semua barangan perlu dibeli. Contohnya, anda boleh menanam sendiri sayuran di kawasan rumah termasuk menggunakan teknik hidroponik yang turut menjurus kepada amalan pengunaan lestari. Malah, cara ini bukan sahaja dapat memastikan sayuran yang dimakan segar dan bebas bahan kimia racun perosak, tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga.            



Selain itu, pengguna juga boleh menjimatkan sumber bahan bakar dengan berusaha mengurangkan pengunaan kenderaan untuk ketempat-tempat yang berdekatan. Bercerita tentang penjimatan ini, pengguna juga perlu mengambil kira pengunaan peralatan elektrik di rumah kerana ia juga merupakan antara penyumbang utama kepada pembaziran tenaga dan turut mempercepatkan pemanasan global. Mulakan dengan membeli peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga. Kini, banyak jenama telah mengambil langkah mengeluarkan produk penjimatan tenaga dalam usaha untuk mengurangkan pemanasan global. Ataupun, pilih barangan yang bersesuaian seperti pengunaan lampu kalimantang yang empat kali lebih cerah daripada mentol  walaupun kedua-duanya menggunakan kuasa watt yang sama. Malah ia juga tahan lapan kali lebih lama berbanding mentol.



Kesimpulannya, manusia diperlukan untuk memelihara alam sekitar bukan untuk memusnahkan alam sekitar. Janganlah kita sebagai manusia yang berakal terlalu mengikut nafsu sehingga melupakan kepentingan alam sekitar. Peliharalah alam sekitar untuk generasi akan datang. Sekiranya telah berlaku kerosakan alam sekitar, segeralah ambil langkah-langkah untuk memulihara alam sekitar . Sekiranya semua ini diamalkan, ia bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih sihat malah mampu mengekalkan kehijauan alam serta menjimatkan perbelanjaan. Jadi, ubahlah sikap bermula hari ini. Jadilah pengguna yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan ia dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.  



RUJUKAN

Harian Metro, 4 Februari 2009
http://www.utusan.com.my   Utusan Malaysia

Friday, December 23, 2011


 
















SKAD  3383

GLOBALISASI  DAN  PEMBANGUNAN  NEGARA

 


TAJUK  TUGASAN

IMPAK GLOBALISASI :

PERISTIWA 11 SEPTEMBER 2001



DISEDIAKAN  OLEH



HAJI ABDULLAH SANI BIN MOHD ZIN 

NO. MATRIKS  A 126639





PENSYARAH  @  PENYELARAS  KURSUS



YBHG  PROFESOR  MADYA  DR.  HAMZAH  BIN  JUSOH

YBHG  PROFESOR  MADYA  DR.  JALALUDDIN BIN ABDUL MALEK

YBHG  DR.  AZMI  BIN AZIZ



TARIKH / MASA KULIAH  @  TUTORIAL 

HARI   RABU

JAM  10.00 PAGI – 12.00 TENGAHARI



1. LATAR BELAKANG

Serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11hb. September 2001 merupakan satu siri serangan yang dipercayai telah dirancang dan teratur dengan terperinci oleh al-Qaeda bawah pimpinan Osama bin Laden. Pada hari kejadian, 19 anggota al-Qaeda telah merampas empat buah kapal terbang komersil dan telah menggunakan kapal terbang komersil ini sebagai ‘senjata’ serangan ke atas Amerika Syarikat dengan menghempaskan kapal terbang-kapal terbang komersil ini ke dalam sasaran yang telah ditetapkan. Daripada empat buah kapal terbang komersil yang telah dirampas, dua buah telah diambil alih kawalannya dan dilanggarkan ke dalam kedua-dua buah bangunan World Trade Centre di New York dan secara langsung telah menyebabkan keruntuhan bangunan tersebut. Sebuah kapal terbang komersil pula dilanggarkan ke bangunan Pentagon di Arlington, Virginia manakala kapal terbang komersil yang terakhir pula terhempas di sebuah padang terpinggir di Shanksville, Pennsylvania. Kapal terbang yang ke-empat dipercayai sedang menuju ke arah bangunan U.S. Capitol atau White House di Washington D.C.[1][1] tetapi penumpang dalam kapal terbang tersebut cuba merampas balik kapal terbang daripada anggota al-Qaeda lalu menyebabkannya terhempas di padang Shanksville tanpa mencapai sasarannya.



Serangan ini telah membawa kepada kematian yang mencecah 3,000 orang mangsa, di mana sejumlah daripada bilangan mangsa itu merupakan warganegara dari 70 buah negara yang lain; termasuk anggota keselamatan kecemasan seperti polis dan bomba yang terkorban apabila bangunan-bangunan World Trade Centre runtuh. Selain daripada signifikasi pengorbanan nyawa yang paling besar dalam serangan domestik ke atas Amerika Syarikat, ia juga merupakan antara peristiwa yang terpenting dalam sejarah tamadun manusia atas sebab impak dan implikasi terhadap semua aspek kemanusiaan seperti dari segi keagamaan, budaya, politik, sosial dan ekonomi di seluruh dunia. Serangan 11hb. September telah membentuk serta menstruktur semula lanskap politik dunia serta alam pemikiran terhadap falsafah pemikiran Islam akibat daripada peningkatan kefahaman yang lahir daripada perbincangan dan wacana untuk mengupas persoalan-persoalan seperti tuntutan Islam terhadap umatnya, tindakan al-Qaeda yang diinterpretasi sebagai keganasan atau perjuangan ideologi, pembentukan dan penyebaran Islamophobia, kempen peperangan War on Terror dan lain-lain.



Perbincangan ini akan berfokuskan kepada beberapa bahagian bermula dengan kronologi kejadian pada 11hb. September 2001, iaitu siri kejadian serangan al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat melalui 4 buah kapal terbang komersil yang telah dirampas; respons serta merta daripada kerajaan Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden George W. Bush yang boleh diteliti daripada ucapan-ucapan beliau pada 11hb. September 2001 serta ucapan khas beliau kepada sidang gabungan khas U.S. Congress pada 20hb. September 2001. Selain daripada itu, respons ketenteraan oleh Amerika Syarikat seperti pengisytiharaan kempen War on Terror ke atas jaringan pengganas sedunia serta respons domestik seperti penggubalan dasar-dasar dan akta seperti USA PATRIOT Act 2001 dengan Homeland Security Act 2002 dalam menghadapi serangan ke atas Amerika Syarikat; akan dilihat dengan lebih teliti untuk memahami kesan dan impak tindakan tersebut ke atas lanskap politik sedunia dan perspektif terhadap Islam. Selain daripada itu, tindakan keras respons Amerika Syarikat yang pro-keselamatan dan berhaluan kanan ekstrim telah menggalakkan perkembangan Islamophobia di kalangan masyarakat umum. Selain daripada itu, antara kesan dan impak daripada serangan 11hb. September ke atas Amerika Syarikat adalah penglobalisasian keganasan yang tidak terbendung dan merentasi sempadan antarabangsa.



2. KRONOLOGI KEJADIAN 11 SEPTEMBER

Pada awal pagi 11hb. September 2001, 19 orang anggota jaringan keganasan al-Qaeda telah merampas empat buah kapal terbang komersil dan mula menukar hala tuju penerbangan kapal terbang masing-masing untuk menghala ke arah sasaran masing-masing. Pada 8:46 pagi, kapal terbang komersil American Airlines siri penerbangan 11 telah dirempuhkan ke dalam menara Utara World Trade Centre, diikuti dengan United Airlines siri penerbangan 175 yang dirempuhkan ke dalam menara Selatan World Trade Centre pada 9:03 pagi. Kumpulan pengganas di American Airlines siri penerbangan 77 pula merempuh dan melanggar kapal terbang itu ke dalam salah satu penjuru bangunan Pentagon di Arlington, Virgina pada 9:37 pagi. Pada pukul 10:03 pagi, United Airlines siri penerbangan 93 telah terhempas di sebuah kawasan lapang di Shanksville, Pennsylvania. Menurut kajian awal ke atas rancangan penerbangan kapal terbang tersebut, sasaran serangan penerbangan itu dipercayai adalah bangunan U.S. Capitol, tempat di mana kongres Amerika Syarikat dijangka akan bersidang atau White House, iaitu kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat[1][2] [1][3]. Walau bagaimanapun, dalam sebuah temu ramah yang dikendalikan oleh Yosri Fouda, seorang pemberita dari al-Jazeera telah mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Khalid Sheikh Mohmmad dan Ramzi Binalshibh, dua orang anggota al-Qaeda yang berjaya ditangkap oleh tentera Amerika Syarikat, telah menyatakan bahawa kapal terbang yang keempat, iaitu United Airlines siri penerbangan 93 adalah menuju ke arah bangunan U.S. Capitol[1][4] di Washington D.C.



Justeru, serangan tersebut telah membawa kepada respons kecemasan daripada pusat kawalan angkasa di seluruh Amerika Syarikat dengan mengharamkan pendaratan setiap penerbangan antarabangsa daripada memasuki ruang udara Amerika Syarikat selama 3 hari melalui pelan kecemasan SCATANA (Plan for the Security Control of Air Traffic and Air Navigation Aids)[1][5]. Tambahan pula, mana-mana penerbangan yang sudah menuju ke arah lapangan terbang Amerika Syarikat telah diarahkan oleh pusat kawalan untuk patah balik ke negara asal atau mendarat di Kanada atau Mexico[1][6].



Secara umumnya, serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11hb. September 2001 telah berjaya untuk melumpuhkan segala sistem pengangkutan udara Amerika Syarikat selama 3 hari dan pasaran perdagangan antarabangsa terpaksa ditutup untuk seketika dan kesan kerugian terhadap ekonomi Amerika Syarikat dapat dirasai oleh pasaran terbuka selama beberapa hari.



3. RESPONS AMERIKA SYARIKAT

Merujuk kepada ucapan Presiden George W. Bush pada 11hb. September 2001, beliau telah menyeru agar rakyat Amerika Syarikat untuk bersatu dan bertabah hati menghadapi serangan dan cabaran ke atas idealisme kebebasan dan “the foundations of America[1][7]. Walau bagaimanapun, seminggu kemudian dalam sebuah ucapan di sesi gabungan khas U.S. Congress pada 20hb. September 2001, Presiden George W. Bush telah mengisytiharkan perang ke atas budaya serangan keganasan yang mengancam tradisi kebebasan dan idealisme Amerika Syarikat, lalu menggesa agar negara-negara sedunia bersatu untuk menentang keganasan yang mengancam gaya hidup yang aman[1][8]. Beliau telah mengambil pendirian yang mutlak, memandangkan keadaan pada masa itu yang mendesak sesuatu respons dari Amerika Syarikat; beliau telah mendesak sokongan dan bantuan daripada komuniti antarabangsa. Dalam ucapan tersebut beliau telah mengisytiharkan:

Every nation, in every region, now has a decision to make. Either you are with us, or you are with the terrorists. From this day forward, any nation that continues to harbor or support terrorism will be regarded by the United States as a hostile regime.”

Presiden George W. Bush (2001)[1][9]



Pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan Amerika Syarikat dalam menjawab serangan dan cabaran al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan pengganas ke atas kedaulatan Amerika Syarikat yang bersifat tanpa toleransi telah membentuk sebuah kerangka yang tegar mengenai respons-respons yang diambil terhadap al-Qaeda yang juga dilabel oleh Amerika Syarikat sebagai jaringan pengganas antarabangsa.



3.1 RESPONS KETENTERAAN

Jurusan daripada pengakuan oleh al-Qaeda bahawa Osama bin Laden merupakan dalang di sebalik rancangan serangan ke atas Amerika Syarikat, pentadbiran Bush telah melancarkan kempen ketenraan War on Terror, atau juga dikenali sebagai Global War on Terrorism, untuk menangani masalah penyebaran ideologi keganasan yang dipelopori oleh kumpulan-kumpulan pengganas melalui kerjasama gabungan kuasa ketenteraan negara-negara NATO dan bukan-NATO. Sejak pengisytiharan kempen ketenteraan War on Terror, Amerika Syarikat telah menyerang Afghanistan pada tahun 2001 dengan matlamat untuk mengusir pengaruh Osama bin Laden dan Taliban daripada Afghanistan; dan telah menyerang Iraq pada tahun 2003 dengan matlamat ingin mengusir pentadbiran Saddam Hussein yang membantu kumpulan pengganas dengan pembinaan senjata biologi Weapons of Mass Destruction (WMD).



Sebaik sahaja Amerika Syarikat diserang pada 11hb. September 2010, North Atlantic Treaty Organization (NATO) telah menggunakan Artikel 5 dari Piagam NATO yang berbunyi “An attack on one member state is an attack on all NATO nations[1][10] sebagai justifikasi untuk melibatkan anggota tentera negara-negara NATO untuk melancarkan serangan ke atas al-Qaeda dan Taliban yang berpusat di Afghanistan melalui operasi ketenteraan, Operation Enduring Freedom. Selain daripada itu, Perdana Menteri Australia John Howard telah mengisytiharkan penggunakan Artikel IV daripada Piagam Australia, New Zealand, United States Security Treaty (ANZUS) ketika lawatan rasmi beliau ke Amerika Syarikat yang berlangsung pada masa yang sama dengan serangan al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat untuk memberi sokongan ketenteraan dari Australia dan New Zealand dalam operasi ketenteraan yang bakal diambil oleh tentera Amerika Syarikat dan negara-negara gabungan NATO.



Walaupun sudah lebih daripada 10 tahun tentera Amerika Syarikat melancarkan kempen War on Terror dan serangan ke atas jaringan pengganas global, tetapi ia masih tidak dapat mengatasi masalah penyebaran keganasan di seluruh dunia. Malah serangan yang bertubi-tubi tanpa belas kasihan telah melahirkan kepada pembentukan sentimen yang lebih membencikan kepada tentera Amerika Syarikat dan telah memupuk sentimen permusuhan antara masyarakat Muslim dan bukan-Muslim.



3.2 RESPONS DOMESTIK

Jurusan daripada serangan al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat pada 11hb. September 2001, populariti dan penerimaan rakyat Amerika terhadap kebolehan Presiden George W. Bush dalam menangani serangan al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat telah meningkat sehingga ke 90%[1][11]. Oleh hal yang sedemikian, Presiden Bush telah menggunakan kesempatan populariti ini untuk menggubal beberapa undang-undang yang pada pendapat ramai ahli akademik dan pemerhati politik merupakan undang-undang yang menyekat kebebasan individu, tetapi pada pendapat pentadbiran Bush, amat diperlukan untuk membendung penyebaran keganasan dan mengelakkan tragedi 11hb. September daripada berulang dalam sejarah Amerika Syarikat.



Salah satu akta yang telah digubal oleh pentadbiran Bush sebagai respons domestik utama untuk memelihara keselamatan dalam negeri adalah Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism (USA PATRIOT) Act pada tahun 2001. Akta ini telah mengurangkan tahap kebebasan individu yang telah lama dinikmati oleh rakyat Amerika atas dasar ingin memperkukuhkan keselamatan dan keamanan negara. Selain daripada itu, perlaksanaan undang-undang melalui akta USA PATRIOT Act 2001 telah memberikan lebih ruang kepada pihak berkuasa untuk menyemak dan menyimpan rekod komunikasi, telefon, emel, rekod perubatan dan kewangan, serta membenarkan pendefinisian terma ‘terrorist’ yang lebih luas supaya seseorang itu boleh diambil tindakan bawah akta ini tanpa memerlukan bukti yang kukuh dan hanya melalui penjustifikasian tindakan.



Justeru daripada perlaksanaan dan penggubalan USA PATRIOT Act 2001, pentadbiran Bush juga menubuhkan sebuah kementerian yang baru, iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, atau dalam bahasa Inggeris Department of Homeland Security melalui penggubalan akta Homeland Security Act pada tahun 2002 untuk menggabungkan perkhidmatan-perkhidmatan keselamatan dalam negeri di bawah satu payung kementerian yang baru seperti Customs Services, Coast Guard dan U.S. Secret Service. Antara tanggungjawab kementerian ini adalah untuk melaksanakan peruntukkan undang-undang di bawah USA PATRIOT Act 2001 dalam memelihara keselamatan dan keamanan dalam negeri.



Walau bagaimanapun, terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang lahir daripada perlaksanaan undang-undang di bawah USA PATRIOT Act 2001 oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sepanjang tempoh ini. Polisi dan dasar keselamatan yang bersifat diskriminasi terhadap masyarakat umat Islam ataupun sesiapa yang kelihatan sebagai berketurunan dari Timur Tengah telah menimbulkan sentimen permusuhan yang mula melahirkan kepada perasaan saling benci-membenci tanpa toleransi di kalangan masyarakat umum.



4. KESAN DAN IMPAK KE ATAS UMAT ISLAM

Pendekatan yang telah diambil oleh pentadbiran Bush adalah bersifat bermusuhan, ekstrim dan tiada nilai toleransi dalam menghadapi serangan 11hb. September ke atas Amerika Syarikat daripada pengganas ekstrimis al-Qaeda dengan mengisytiharkan perang ke atas mana-mana golongan yang tidak bersehaluan dengannya. Kegagalan Amerika Syarikat untuk menyelesaikan konflik yang tertimbul antara masyarakat Muslim di Amerika Syarikat dengan masyarakat bukan Muslim jurusan daripada serangan 11hb. September oleh golongan pengganas ekstrimis Islam telah membawa kepada pengingkatan jenayah kebencian yang bersifat rasis dan diskriminatori. Banyak kejadian-kejadian ganggunan dan jenayah kebencian yang telah dilaporkan mengenai gangguan dan kekacauan terhadap orang Timur Tengah atau orang yang dikelihatan sebagai berasal dari Timur Tengah.



Layanan buruk yang bersifat diskriminasi ke atas umat Islam di Amerika Syarikat telah membawa kepada pembentukan dan pengukuhan sebuah budaya sosial yang tidak sihat, iaitu Islamophobia. Ia merupakan satu jenis prejudis yang bersifat diskriminatori terhadap umat Islam dari pelbagai aspek, biarpun dari aspek ekonomi, sosial, politik dan kehidupan secara umum dalam sesebuah masyarakat. Budaya Islamophobia terbentuk jurusan daripada pembentukan kerangka pemikiran atau mindset melalui dasar-dasar, polisi dan kempen propaganda bahawa Islam bukan sahaja merupakan sebuah pegangan agama dan kepercayaan malah ia juga merupakan sebuah ideologi politik yang sanggup menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat politik dan kekuasaan (Muzammi Quraishi 2005: 60). Mengikut analisis Haifaa Jawad & Tansin Benn (2004: 111), antara punca peningkatan Islamophobia dalam tempoh 2000-an adalah akibat daripada serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11hb. September 2001 oleh segelintir golongan pengganas yang kecil tetapi telah menyebabkan seluruh masyarakat umat Islam secara umum dilabel secara negatif.



Menurut laporan yang berjudul Islamophobia: A Challenge for Us All oleh Runnymede Trusts, sebuah badan penyelidik yang berpengalaman dalam penyelidikan isu-isu yang berkaitan dengan agama, perkauman dan diskriminasi, telah merumuskan bahawa antara ciri-ciri pemikiran atau persepsi negatif yang timbul daripada budaya Islamophobia adalah tanggapan negatif bahawa Islam merupakan sebuah agama yang tidak responsif kepada perubahan; ia dianggap sebagai berbeza daripada pengamalan budaya semasa dan tidak boleh diterima oleh masyarakat umum; dianggap sebagai primitif, tidak rasional dan mendiskriminasikan kaum wanita; dan Islam juga dikelihatan sebagai ganas, agresif, mendokong keganasan dan terlibat dalam satu ‘pertembungan tamadun’ seperti mana yang disarankan oleh Samuel Huntington dalam buku The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. Selain daripada itu, Islam tidak lagi dilihat sebagai suatu pegangan agama malah dianggap sebagai satu ideologi politik yang hanya mementingkan kepentingan politik melalui kelebihan ketenteraan dan jihad; serta kritikan mengenai “Barat” oleh Muslim juga ditolak secara keseluruhan kerana masyarakat yang mengalami Islamophobia akan menganggap Islam sebagai tidak rasional dan jumud. Tambahan pula, sentimen permusuhan antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim telah digunakan sebagai alasan untuk mengamalkan dasar-dasar yang bersifat diskriminasi terhadap umat Islam serta pendekatan yang anti-Muslim dan sentimen permusuhan terhadap umat Islam dianggap sebagai perkara yang biasa oleh masyarakat yang Islamophobia.



Justeru, marginalisasi dan penindasan terhadap umat Islam berlaku apabila budaya Islamophobia yang berleluasa di kalangan masyarakat umum, maka akhirnya ia akan meminggirkan masyarakat Muslim yang minoriti dalam segala pembangunan dan peluang untuk mencapai kesejahteraan hidup dalam masyarakat. Oleh hal yang sedemikian, budaya Islamophobia merupakan antara kesan dan impak yang paling nyata terhadap umat Islam yang lahir daripada respons daripada Amerika Syarikat terhadap serangan 11hb. September 2001.



5. KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11hb. September 2001 telah membawa kepada pelbagai kesan dan impak terhadap umat Islam akibat daripada respons-respons domestik dan ketenteraan oleh pentadbiran Presiden George W. Bush yang telah gagal untuk mengelakkan pembentukkan dan penyebaran Islamophobia yang lahir daripada prejudis dan polisi yang bersifat diskriminasi terhadap orang Muslim. Perlaksanaan polisi dan dasar negara yang hanya mementingkan keselamatan dalam negeri secara ekstrim tanpa toleransi oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri melalui perlaksanaan undang-undang preventatif yang bersifat diskriminasi terhadap umat Islam telah memburukkan keadaan.



Tambahan pula, serangan 11hb. September yang didalangi oleh Osama bin Laden dan al-Qaeda telah menimbulkan sentimen permusuhan antara golongan Muslim dan bukan-Muslim yang telah menambah kepada penyebaran budaya Islamophobia yang tidak ditangani oleh pentadbiran Bush secara bijak. Secara kesimpulannya, terdapat satu kesinambungan antara serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11hb. September 2001 dengan respons oleh kerajaan Amerika Syarikat yang bersifat ekstrim dan tiada toleransi telah melahirkan kepada budaya Islamophobia yang memberi kesan dan impak yang negatif terhadap umat Islam secara keseluruhannya.


RUJUKAN

A&E Television Networks. The Biography Channel: Profiles of 9/11 - About




BBC News. September 8, 2002. Al-Qaeda ‘plotted nuclear attacks’.




Fredman, S. (pnyt.). 2001. Discrimination and Human Rights: The Case of Racism. New York:

Oxford University Press.



Gallup. 2001. Presidential Approval Ratings - George W. Bush.


Approval-Ratings-George Bush.aspx



Haifaa Jawad & Tansin Benn. 2004. Muslim Women in the United Kingdom and Beyond

Experiences and Images. Boston: Brill.



Muzammil Quraishi. 2005. Muslims and Crime: A Comparative Study.

Aldershot: Ashcroft Publishing.



National Commission on Terrorist Attacks Upon the United States. 2004. The Attack Looms –




National Transportation Safety Board. 2002. Flight Path Study - United Airlines Flight




NATO. 2001. Statement by the North Atlantic Council.






United States Air Force, United States Army, United States Navy. 1976. Security Control of Air

Traffic and Air Navigation Aids (SCATANA).
http://marines.mil/news/publications/Documents/MCO%20P3720.1C.pdf



White House. Statement by the President in His Address to the Nation on September 11, 2001.  




White House. George W. Bush Address to a Joint Session of Congress on September20,2001.




Yvonne Yazbeck Haddad. (pnyt.). 2002. Muslims in the West: From Sojourners to Citizens. New

York: Oxford University Press.



[1][1] BBC News. September 8, 2002. Al-Qaeda ‘plotted nuclear attacks’.




[1][2] National Commission on Terrorist Attacks Upon the United States. 2004. The Attack Looms




[1][3] National Transportation Safety Board. 2002. Flight Path Study - United Airlines Flight 93.




[1][4] BBC News. September 8, 2002. Al-Qaeda ‘plotted nuclear attacks’.




[1][5] United States Air Force, United States Army, United States Navy. 1976. Security Control of

Air Traffic and Air Navigation Aids (SCATANA). http://marines.mil/news/publications/Documents/MCO%20P3720.1C.pdf





[1][6] A&E Television Networks. The Biography Channel: Profiles of 9/11 - About 9/11.




[1][7] White House. Statement by the President in His Address to the Nation on September 11,b




[1][8] White House. George W. Bush Address to a Joint Session of Congress on September 20,




[1][9] Ibid.



[1][10] NATO. 2001. Statement by the North Atlantic Council.




[1][11] Gallup. 2001. Presidential Approval Ratings - George W. Bush.


Approval-Ratings-George-Bush.aspx