Sunday, December 25, 2011

SKAD 3383


GLOBALISASI DAN PEMBANGUNAN NEGARA





TAJUK TUGASAN


ALAM SEKITAR





DISEDIAKAN OLEH





HAJI ABDULLAH SANI BIN MOHD ZIN


NO. MATRIKS A 126639








PENSYARAH @ PENYELARAS KURSUS





YBHG PROFESOR MADYA DR. HAMZAH BIN JUSOH


YBHG PROFESOR MADYA DR. JALALUDDIN BIN ABDUL MALEK


YBHG DR. AZMI BIN AZIZ





TARIKH / MASA KULIAH @ TUTORIAL


HARI RABU


JAM 10.00 PAGI – 12.00 TENGAHARI





ALAM SEKITAR



ABSTRAK





Manusia telah diutuskan sebagai khalifah untuk mentadbir dan menjaga alam ini sesuai dengan fitrahnya sebagai makhluk yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Berpandukan wahyu yang tersurat sebagai Al-Quran, manusia diajar, dididik dan diberi panduan tentang bagaimana untuk mentadbir alam ini melalui perantaraan utusan Allah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Alam sekitar merupakan sebahagian daripada juzuk alam musyahadah yang dicipta Allah untuk kepentingan manusia. Bahkan manusia sentiasa berhubung dengan alam sekitar untuk meneruskan kelangsungan hidupnya dengan alam sekitar menyediakan pelbagai sumber untuk keperluan manusia seperti udara, air, hutan dan sumber galian. Maka lahirlah satu rantaian hubungan yang signifikan antara manusia dan alam sekitar. Justeru, Al-Quran telah menggariskan beberapa peraturan dan undang-undang tentang bagaimana manusia boleh berhubungan dengan alam sekitar supaya hubungan tersebut saling memberi manfaat bukan mudharat antara satu sama lain. Oleh itu kertas kerja ini cuba mengupas sudut falsafah alam sekitar dari kaca mata Al-Quran sebagai kitab dan panduan hidup setiap muslim.





PENGENALAN





Perkembangan mutakhir dunia kini mempamerkan keprihatinan masyarakat terhadap isu dan persoalan alam sekitar. Berbagai bentuk wacana ilmu berkaitan krisis alam sekitar dianjurkan sama ada persidangan, forum, dialog, seminar, laporan akhbar dan sebagainya. Malah semua pihak tidak ketinggalan menyertai setiap perkembangan sekiranya sesuatu isu persekitaran tercetus sama ada pihak kerajaan, swasta mahupun media massa.





Secara sedar ataupun tidak, manusia telah sekian lama mencemar atau merosakkan alam sekitar dengan pelbagai bentuk perlakuan dan tindakan. Sebenarnya kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar telahpun direkodkan sejak abad kelapan belas dan kesembilan belas lagi (Jamaluddin 1996). Semua itu berlaku justeru manusia cuba memenuhi sebahagian daripada tuntutan dan keperluan mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini. Alam sekitar secara hakikatnya adalah tempat manusia mencari dan meneroka khazanah serta sumberjayanya untuk tujuan tersebut.





Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling mulia dengan tanggungjawab sebagai khalifah atau pemimpin di bumi ini. Manusia dicipta dan utuskan ke bumi ini tidak secara bersendirian, malah mereka dibekalkan dengan segala bentuk peraturan dan garis panduan yang terkandung dan tersurat sebagai kitab suci Al-Quran.





Justeru, kertas kerja ini cuba melihat perkaitan tiga elemen di atas iaitu alam sekitar, manusia dan Al-Quran dalam mengupas isu-isu persekitaran yang semakin mencabar konsiderasi manusia sejagat dari sudut falsafah alam sekitar.





Manusia dan Alam Sekitar dari Kaca Mata al-Quran





Alam semester ini adalah ciptaan Tuhan yang terdiri daripada alam musyahadah dan alam ghaib. Alam musyahadah ialah alam sekitar fizikal yang kandungannya dapat dilihat dengan pacaindera atau ditanggap dengan akal. Alam ghaib pula ialah alam yang tidak dapat dilihat atau ditanggap dengan pancaindera atau akal seperti alam roh dan alam akhirat. Alam ghaib ini hanya dapat diyakini dan difahami melalui iman atau kepercayaan yang sungguh-sunggu terhadap Tuhan Yang Maha Pencipta (Abu Bakar 1998)





Alam musyahadah atau alam sekitar fizikal yang dapat dilihat oleh pancaindera itu dapat dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu atmosfera, hidrosfera, litosfera dan biosfera yang sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain di dalam keadaan yang sentiasa menuju kepada keseimbangan dinamik dan tidak menimbulkan banyak masalah (Jamaluddin 1998).





Manusia adalah makhluk ciptaan Allah dengan sebaik-baik kejadian. Dianegerahi akal dan fikiran serta dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan memakmurkan alam ini berdasarkan wahyu dan ajaran, peraturan dan ketetapan, syariat dan perundangan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t yang terkandung dan tersurat di dalam Al-Quran.


Alam sekitar rmerupakan salah satu unsur alam tabii (nature) ciptaan-Nya. Ruang lingkup alam tabii begitu luas, bukan hanya terangkum dalam aspek biologi, kimia dan fizik, bahkan melibatkan aspek metafizik. Berdasarkan perspektif Islam, alam tabii tergolong dalam bidang pengajian sains kosmologi dan sains ini berkait rapat dengan ilmu wahyu (Zaini 1993).





Hubungan Manusia dan Alam Sekitar





Manusia merupakan kejadian yang istimewa berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah. Ia dibekalkan dengan akal fikiran untuk menguasai ilmu pengetahuan. Berbekalkan potensi yang sedemikian manusia berupaya untuk membangun dan memakmurkan dunia. Hal ini sesuai dengan matlamat penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan mewarisi kekayaan yang terdapat di perut bumi dan di dasar lautan. Jelas, bahawa Allah jadikan dunia (persekitaran fizikal) dan apa jua yang terkandung di dalamnya untuk keselesaan dan kesejahteraan manusia (Abdul Monir 1998).





Hubungan manusia dan alam sekitar boleh dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertama, manusia diberi tanggungjawab untuk memakmurkan dunia dan mengambil faedah daripada pembangunan. Hal ini bertepatan dengan fungsi manusia sebagai khalifah di mukabumi ini. Kedua, manusia perlu memikirkan dan mengambil iktibar dari kejadian alam yang begitu lengkap dan sempurna serta mendekatkan diri dengan Allah yang menciptanya. Firman Allah yang bermaksud :


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, pada kapal yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia, demikian juga air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan tumbuh-tumbuhan di bumi ini” (al-Baqarah : 164).





Manusia dan alam sekitar merupakan dua komponen penting di alam ini yang saling berhubungan di antara satu sama lain. Sebarang perubahan ke atas satu entiti tersebut akan menyebabkan entiti yang lain turut akan berubah. Hubungan manusia dengan alam sekitar dapat ditinjau berdasarkan beberapa tahap, daripada tahap asal atau awal yang mudah sehingga kepada tahap yang kompleks dan canggih masa ini. Pada tahap awal yang mudah pertalian ini dapat dilihat melalui kewujudan manusia dan bumi (alam sekitar fizikal) (Jamaluddin 1996).





Hubungan manusia dan alam sekitar pada tahap yang lebih kompleks adalah berasaskan pandangan bahawa manusia adalah sebahagian daripada alam sekitar. Ia lahir daripada pandangan santifik yang membezakan manusia dengan haiwan lain, berdasarkan fakta bahawa manusia mempunyai daya berfikir yang lebih tinggi. Oleh itu manusia mempunyai keperluan yang tersendiri dan perbezaan ini membolehkan kita membahagikan bumi ini kepada dua sisitem ysang utama, iaitu sistem alam sekitar fizikal dan sistem persekitaran manusia dan kegiatannya (Jamaluddin, 1996).




Manusia dan Masalah Pencemaran Alam Sekitar






Alam sekitar fizikal bukan hanya menawarkan tapak untuk manusia menjalankan aktiviti sehariannya, tetapi juga merupakan sistem bantuan kehidupan yang tidak ternilai. Manusia yang bebas menggunakannya untuk tujuan pembangunan dan peningkatan taraf hidup kadang kala lupa bahawa sesuatu tindakan yang mereka lakukan boleh dan akan mempengaruhi perkara-perkara lain. Tindakan manusia akan mewujudkan perubahan dan boleh menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar. Kemerosotan kualiti alam sekitar bermula sebaik sahaja tekanan aktiviti manusia yang mencetuskan perubahan terhadap persekitaran fizikal sudah tidak dapat ditampung oleh persekitaran itu (Jamaluddin Md. Jahi 2000).





Berdasarkan beberapa ayat al-Quran, kerosakan alam sekitar ini disebabkan oleh dua faktor utama sama ada faktor semulajadi atau tindakan manusia. Firman Allah yang bermaksud :


“telah zahir (nyata) segala kerosakan yang berlaku di daratan atau di lautan itu, disebabkan oleh apa yang dilakukan oleh kedua-dua tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (balasan) perbuatan yang mereka lakukan, mudah-mudahan mereka kembali (bertaubat)’


(Ar-Rum : 41).





Manusia dikatakan menggunakan sumber semulajadi untuk kepentingan ekonomi semata-mata dan meminggirkan persoalan alam sekitar di dalam perencanaan pembanganunan duniawi. Pertimbangan yang mengenepikan wajaran yang adil terhadap alam sekitar inilah yang menjadi katalis kepada kerosakan alam sekitar. Sedangkan Allah tidak mengutuskan manusia dan makhluk lainnya ke alam ini bukan untuk merosakkan tetapi sebaliknya sebagai seorang hamba yang perlu mengabdikan diri kepadaNya. (Mohd Bustaman 1997). Firman Allah yang bermaksud :


“Tidakku utuskan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepadaku” (Surah :





Sekiranya manusia sedar akan tanggunjawabnya sebagai seorang hamba Allah, sudah pasti mereka tidak akan melakukan kerosakan di alam ini. Sekiranya amanah ini tidak dilaksanakan, maka manusia telah ingkar. Setiap keingkaran yang dilakukan itu merupakan penentangan kepada hukum Allah dan setiap penentangan itu merupakan satu dosa yang sudah pasti akan dibalas kelak.





Justeru, Islam meletakkan hukum halal dan haram sebagai satu etika yang boleh melentur setiap tindakan umatnya. Namun, etika ini hanyalah dipatuhi oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah yang diertikatakan sebagai manusia yang bertaqwa. Konsep ketaqwaan ini merupakan manifestasi keseluruhan etika yang disaran, diwajib dan ditetapkan oleh Allah kepada hambaNya. Sekiranya ketaqwaan itu tinggi, maka tinggilah etika hidup seseorang itu, dan sebaliknya ketaqwaan yang rendah akan merendahkan darjat dan martabat seseorang itu.




Al-Quran dan Falsafah Alam Sekitar






Alam sekitar sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan tempat tinggal, makanan, minuman dan lain-lain kemudahan, Kesemua keperluan dan kemudahan ini melibatkan penerokaan alam sekitar sama ada untuk mendirikan bangunan, mendapatkan makanan dan minuman atau sumber jaya yang penting bagi menjamin kelansungan dan kesejahteraan hidup manusia.





Namun begitu, perkara yang lebih penting bagi manusia berkaitan alam sekitar ialah untuk memperjelaskan lagi sifat-sifat Allah dan pembangkit kesedaran tentang sifat ketuhanan. Alam tabii juga merupakan simbol yang memberi petunjuk bagi memudahkan manusia dalam menempuh cabaran kehidupan. Bulan, bintang dan matahari misalnya menjadi petunjuk arah dan waktu, di samping menjadi petunjuk tentang betapa hebatnya sifat Allah s.w.t. (Zaini 1993).





Di samping mengetahui manfaat alam sekitar kepada manusia, kewujudan dan konsep manusia mestilah juga difahami setepatnya bagi memahami konsep Islam terhadap alam tabii. Hal ini penting kerana manusia merupakan central being dalam alam tabii dan mempunyai tempat atau kedudukannya yang khusus dalam struktur alam tabii. Hakikatnya manusia merupakan sebahagian daripada alam tabii, tetapi manusia mempunyai peranan dan keistimewaannya yang tersendiri berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain (Zaini 1993).





Setiap kejadian dan ciptaan di alam ini bertujuan untuk memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada manusia. Manusia berhak ke atas ciptaan Allah untuk menjamin kelangsungan hidup di alam ini. Komponen alam sekitar seperti air dan udara serta sumber galiannya adalah juzuk-juzuk penting untuk aktiviti pembangunan sesebuah negara. Dengan ini, manusia akan mempergunakan alam sekitar untuk tujuan tersebut dan sekiranya manusia tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, alam sekitar mengalami kerosakan.





Berkaitan hal ini, Allah telah menetapkan etika-etika tertentu tentang bagaimana manusia boleh bertindak ke atas alam sekitar yang merupakan sebahagian daripada ciptaan Allah dengan firmannya yang bermaksud :


‘dan janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas). Sesungguhnya Allah membenci mereka yang berlebih-lebihan’


(Al-Maidah : 87).





Manakala di dalam surah Al-Qashash pula, Allah menegaskan bahawa perbuatan berlebihan-lebihan iaitu eksploitasi secara melampaui terhadap alam sekitar itu suatu perbuatan yang amat dibenci olehNya . Firman Allah yang bermaksud :


‘dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi ini, sesungguhnya Allah membenci mereka yang melakukan kerosakan’ (al-Qashash : 77).





Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelas memperlihatkan unsur-unsur etika yang seharusnya dipatuhi dan dipraktikkan oleh manusia terhadap alam ini sekiranya mereka ingin selamat dari segala bentuk ancaman alam sekitar sama ada disebabkan oleh manusia atau ancaman tabii. Manusia harus bertanya kepada diri sendiri, sama ada tindakannya mengeksploitasi alam sekitar itu akan memberi kesan berbalik kepeda mereka atau tidak.





Penutup






Adalah penting sekali diingatkan bahawa al_Quran bukanlah sebuah buku teks sains yang mengandungi huraian-huraian terperinci tentang segala kejadian dan unsur-unsurnya. Ia hanya memberi kerangka kasar atau clue dan terpulanglah kepada manusia untuk menggunakan pemikiran yang diberi untuk mengkaji dan mengamati sesuatu dengan cara yang lebih teliti (Zakaria, 1991).


Bumi yang dipijak, langit yang dijunjung dan alam sekitar seluruhnya adalah anugerah Allah yang terlalu tinggi nilainya. Tanggungjawab manusialah untuk memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin. Sewajarnyalah, manusia yang dibekalkan dengan akal yang sempurna memikirkan akibat yang akan terjadi hasil dari tindakan yang dilakukan hari ini. Masa depan manusia dan alam sekitar yang cemerlang sebenarnya terletak pada corak kehidupan yang kita amalkan sekarang (Abu Bakar 1998).





Justeru, melalui amalan etika alam sekitar yang disarankan oleh al-Quran adalah sebaik-baik panduan untuk manusia berinteraksi dengan persekitaran sejagat sekiranya manusia ingin bebas dari ancaman dan tindak-balas berbalik oleh persekitaran seperti kejadian tanah runtuh dan sebagainya.





Rujukan






Abdul Monir Yaacob. 1998. Manusia. Dlm. Abu Bakar Yang (pnyt.), Alam sekitar anugerah Tuhan: 95-100. Kuala Lumpur : Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains dan Teknologi & Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).





Abu Bakar Abdul Majeed. 1998. Alam sekitar. Dlm. Abu Bakar Yang (pnyt.), Alam sekitar anugerah Tuhan: 1-12. Kuala Lumpur : Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains dan Teknologi & Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).





Jamaluddin Md Jahi. 2000. Pengurusan alam sekitar di Malaysia : Isu dan cabaran. Dlm. Jamaluddin Md. Jahi (pnyt.), Pengurusan persekitaran di Malaysia: isu dan cabaran. Bangi. 9 - 29.





Jamaluddin Md. Jahi. 1996. Impak pembangunan terhadap alam sekitar. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.





Jamaluddin Md. Jahi. 1998. Persekitaran fizikal dan keperluan manusia: antara undang-undang, pengurusan dan kekangan. Seminar FSKK Ke-3: Peranan ilmu sains kemasyarakatan dan kemanusiaan dalam pembangunan negara. Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM, Bangi, 10-19 Ogos.





Mohd Bustaman Abdul Aziz. 1997. Al-Quran, manusia dan alam sekitar: 61-61. Majalah Backbench. Kuala Lumpur.





Mohd Bustaman Abdul Aziz, Samsu Adabi Mamat. 2001.Al-Quran, Manusia, Dan Falsafah



Alam Sekitar. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.






Zaini Ujang. 1993. Islam dan alam sekitar. Dlm. Zaini Ujang, Seyyed Hossein Nasr & Ziauddin Sardar, Islam dan alam sekitar: 1-49. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.





Zakaria Awang Soh. 1991. Kecanggihan alam semester: antara wahyu dengan pengetahuan sains. Siri Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, 19 Februari. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment