Saturday, December 31, 2011


1.1 PENGENALAN

            Secara umum, globalisasi bermaksud keadaan dunia secara am atau keseluruhannya.  Globalisasi juga membawa maksud perpindahan isme, nilai, dan fahaman dari satu pusat ke daerah-daerah yang lain.  Perpindahan nilai boleh berlaku melalui penjajahan, penaklukan daerah, pendidikan, dan peranan media.  Bertherton (1966) menggariskan empat aspek asas dalam proses globalisasi iaitu perkembangan teknologi maklumat, internet, perubahan ekonomi sejagat, globalisasi politik, dan pensejagatan idea.   Manakala globalisasi dari sudut politik pula adalah semakin mengecil dan berkurangnya peranan nation-state atau negara bangsa untuk menguruskan soal berkaitan tuntutan dan pemeliharaan hak-hak sivil rakyat, sebaliknya prospek pengendalian diambil alih oleh organisasi supranasional sama ada pada peringkat serantau atau sejagat (Frankel 1970).

            Pada masa kini, globalisasi telah menjadi satu buzz-word yang digunakan oleh pelbagai pihak tetapi ia seringkali disalahtafsirkan.  Proses globalisasi pula adalah satu fenomena atau keadaan di mana dunia dan hubungan antara negara dan penghuninya menjadi semakin cepat dengan adanya bantuan teknologi maklumat dan perkembangan ekonomi kapitalisme. Contohnya, pelaburan langsung MNC dan perkongsian nilai kehidupan sejagat.  Sebagai satu proses transformasi dunia, globalisasi dikatakan bermula kira-kira dua dekad yang lalu dengan terbentuknya satu ekonomi global yang berbeza daripada ekonomi dunia.  Jika dirujuk dari sudut analisis, globalisasi merupakan suatu fenomena yang multi dimensi, yang meliputi ekonomi, politik, budaya, dan ideologi dan bukannya hanya merangkumi dimensi ekonomi, perdagangan, dan teknologi semata-mata.  Oleh itu, proses globalisasi melibatkan segenap aspek kehidupan masyarakat dan kesejagatan negara bangsa.  Ia juga boleh dikatakan sebagai satu fenomena sedunia yang muncul hasil daripada cantuman pelbagai proses transnasional dan struktur domestik yang membolehkan ekonomi, politik, budaya, dan ideologi sesuatu negara menerobos atau menembusi sempadan negara lain (Noraini ; Summit 2000:29).  Ini bolehlah dikaitkan dengan konsep pengurangan kedaulatan negara, keterobosan sempadan, kecanggihan teknologi, pengecilan dunia, dan pengembangan transaksi perdagangan yang berasaskan kepada pemikiran perdagangan bebas (Mahfuzah, Rashila, Zaini 1999:6).  Dalam hal ini, globalisasi melibatkan pemampatan masa dan ruang dari hubungan sosial dan kemunculan kesedaran global mengenai pemampatan tersebut (Noraini & Sumit 2000:29).

No comments:

Post a Comment