SKAD 3383
GLOBALISASI DAN PEMBANGUNAN
NEGARA
TAJUK TUGASAN
ALAM SEKITAR
DISEDIAKAN OLEH
HAJI
ABDULLAH SANI BIN MOHD ZIN
NO.
MATRIKS A 126639
PENSYARAH @
PENYELARAS KURSUS
YBHG
PROFESOR MADYA DR. HAMZAH BIN JUSOH
YBHG PROFESOR
MADYA DR. JALALUDDIN BIN ABDUL MALEK
YBHG DR. AZMI
BIN AZIZ
TARIKH / MASA KULIAH @
TUTORIAL
HARI RABU
JAM 10.00
PAGI – 12.00 TENGAHARI
ALAM SEKITAR
ABSTRAK
Manusia telah diutuskan sebagai
khalifah untuk mentadbir dan menjaga alam ini sesuai dengan fitrahnya sebagai
makhluk yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Berpandukan wahyu yang
tersurat sebagai Al-Quran, manusia diajar, dididik dan diberi panduan tentang
bagaimana untuk mentadbir alam ini melalui perantaraan utusan Allah iaitu Nabi
Muhammad S.A.W. Alam sekitar merupakan sebahagian daripada juzuk alam
musyahadah yang dicipta Allah untuk kepentingan manusia. Bahkan manusia
sentiasa berhubung dengan alam sekitar untuk meneruskan kelangsungan hidupnya
dengan alam sekitar menyediakan pelbagai sumber untuk keperluan manusia seperti
udara, air, hutan dan sumber galian. Maka lahirlah satu rantaian hubungan yang
signifikan antara manusia dan alam sekitar. Justeru, Al-Quran telah
menggariskan beberapa peraturan dan undang-undang tentang bagaimana manusia
boleh berhubungan dengan alam sekitar supaya hubungan tersebut saling memberi
manfaat bukan mudharat antara satu sama lain. Oleh itu kertas kerja ini cuba
mengupas sudut falsafah alam sekitar dari kaca mata Al-Quran sebagai kitab dan
panduan hidup setiap muslim.
PENGENALAN
Perkembangan mutakhir dunia kini
mempamerkan keprihatinan masyarakat terhadap isu dan persoalan alam sekitar.
Berbagai bentuk wacana ilmu berkaitan krisis alam sekitar dianjurkan sama ada
persidangan, forum, dialog, seminar, laporan akhbar dan sebagainya. Malah semua
pihak tidak ketinggalan menyertai setiap perkembangan sekiranya sesuatu isu
persekitaran tercetus sama ada pihak kerajaan, swasta mahupun media massa.
Secara sedar ataupun tidak, manusia
telah sekian lama mencemar atau merosakkan alam sekitar dengan pelbagai bentuk
perlakuan dan tindakan. Sebenarnya kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar
telahpun direkodkan sejak abad kelapan belas dan kesembilan belas lagi
(Jamaluddin 1996). Semua itu berlaku justeru manusia cuba memenuhi sebahagian
daripada tuntutan dan keperluan mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup di
dunia ini. Alam sekitar secara hakikatnya adalah tempat manusia mencari dan
meneroka khazanah serta sumberjayanya untuk tujuan tersebut.
Manusia adalah makhluk ciptaan
Tuhan yang paling mulia dengan tanggungjawab sebagai khalifah atau pemimpin di
bumi ini. Manusia dicipta dan utuskan ke bumi ini tidak secara bersendirian,
malah mereka dibekalkan dengan segala bentuk peraturan dan garis panduan yang
terkandung dan tersurat sebagai kitab suci Al-Quran.
Justeru, kertas kerja ini cuba
melihat perkaitan tiga elemen di atas iaitu alam sekitar, manusia dan Al-Quran
dalam mengupas isu-isu persekitaran yang semakin mencabar konsiderasi manusia
sejagat dari sudut falsafah alam sekitar.
Manusia dan Alam Sekitar dari Kaca Mata al-Quran
Alam semester ini adalah ciptaan
Tuhan yang terdiri daripada alam musyahadah
dan alam ghaib. Alam musyahadah ialah
alam sekitar fizikal yang kandungannya dapat dilihat dengan pacaindera atau
ditanggap dengan akal. Alam ghaib pula ialah alam yang tidak dapat dilihat atau
ditanggap dengan pancaindera atau akal seperti alam roh dan alam akhirat. Alam
ghaib ini hanya dapat diyakini dan difahami melalui iman atau kepercayaan yang
sungguh-sunggu terhadap Tuhan Yang Maha Pencipta (Abu Bakar 1998)
Alam musyahadah atau alam sekitar fizikal yang dapat dilihat oleh
pancaindera itu dapat dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu atmosfera,
hidrosfera, litosfera dan biosfera yang sentiasa berinteraksi di antara satu
sama lain di dalam keadaan yang sentiasa menuju kepada keseimbangan dinamik dan
tidak menimbulkan banyak masalah (Jamaluddin 1998).
Manusia adalah makhluk ciptaan
Allah dengan sebaik-baik kejadian. Dianegerahi akal dan fikiran serta
dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan memakmurkan alam ini berdasarkan
wahyu dan ajaran, peraturan dan ketetapan, syariat dan perundangan yang telah
ditentukan oleh Allah s.w.t yang terkandung dan tersurat di dalam Al-Quran.
Alam sekitar rmerupakan salah satu
unsur alam tabii (nature) ciptaan-Nya. Ruang lingkup alam tabii begitu luas,
bukan hanya terangkum dalam aspek biologi, kimia dan fizik, bahkan melibatkan
aspek metafizik. Berdasarkan perspektif Islam, alam tabii tergolong dalam bidang
pengajian sains kosmologi dan sains ini berkait rapat dengan ilmu wahyu (Zaini
1993).
Hubungan Manusia dan Alam Sekitar
Manusia merupakan kejadian yang
istimewa berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah. Ia dibekalkan dengan
akal fikiran untuk menguasai ilmu pengetahuan. Berbekalkan potensi yang
sedemikian manusia berupaya untuk membangun dan memakmurkan dunia. Hal ini
sesuai dengan matlamat penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah
dan mewarisi kekayaan yang terdapat di perut bumi dan di dasar lautan. Jelas,
bahawa Allah jadikan dunia (persekitaran fizikal) dan apa jua yang terkandung
di dalamnya untuk keselesaan dan kesejahteraan manusia (Abdul Monir 1998).
Hubungan manusia dan alam sekitar
boleh dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertama, manusia diberi
tanggungjawab untuk memakmurkan dunia dan mengambil faedah daripada
pembangunan. Hal ini bertepatan dengan fungsi manusia sebagai khalifah di
mukabumi ini. Kedua, manusia perlu memikirkan dan mengambil iktibar dari
kejadian alam yang begitu lengkap dan sempurna serta mendekatkan diri dengan
Allah yang menciptanya. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, pada kapal
yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada
manusia, demikian juga air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah
hidupkan tumbuh-tumbuhan di bumi ini” (al-Baqarah : 164).
Manusia dan alam sekitar merupakan
dua komponen penting di alam ini yang saling berhubungan di antara satu sama
lain. Sebarang perubahan ke atas satu entiti tersebut akan menyebabkan entiti
yang lain turut akan berubah. Hubungan manusia dengan alam sekitar dapat
ditinjau berdasarkan beberapa tahap, daripada tahap asal atau awal yang mudah
sehingga kepada tahap yang kompleks dan canggih masa ini. Pada tahap awal yang
mudah pertalian ini dapat dilihat melalui kewujudan manusia dan bumi (alam
sekitar fizikal) (Jamaluddin 1996).
Hubungan manusia dan alam sekitar
pada tahap yang lebih kompleks adalah berasaskan pandangan bahawa manusia
adalah sebahagian daripada alam sekitar. Ia lahir daripada pandangan santifik
yang membezakan manusia dengan haiwan lain, berdasarkan fakta bahawa manusia
mempunyai daya berfikir yang lebih tinggi. Oleh itu manusia mempunyai keperluan
yang tersendiri dan perbezaan ini membolehkan kita membahagikan bumi ini kepada
dua sisitem ysang utama, iaitu sistem alam sekitar fizikal dan sistem
persekitaran manusia dan kegiatannya (Jamaluddin, 1996).
Manusia dan Masalah Pencemaran Alam Sekitar
Alam sekitar fizikal bukan hanya
menawarkan tapak untuk manusia menjalankan aktiviti sehariannya, tetapi juga
merupakan sistem bantuan kehidupan yang tidak ternilai. Manusia yang bebas menggunakannya untuk
tujuan pembangunan dan peningkatan taraf hidup kadang kala lupa bahawa sesuatu
tindakan yang mereka lakukan boleh dan akan mempengaruhi perkara-perkara lain.
Tindakan manusia akan mewujudkan perubahan dan boleh menyebabkan kemerosotan
kualiti alam sekitar. Kemerosotan kualiti alam sekitar bermula sebaik sahaja
tekanan aktiviti manusia yang mencetuskan perubahan terhadap persekitaran
fizikal sudah tidak dapat ditampung oleh persekitaran itu (Jamaluddin Md. Jahi
2000).
Berdasarkan beberapa ayat al-Quran,
kerosakan alam sekitar ini disebabkan oleh dua faktor utama sama ada faktor
semulajadi atau tindakan manusia. Firman Allah yang bermaksud :
“telah zahir
(nyata) segala kerosakan yang berlaku di daratan atau di lautan itu, disebabkan
oleh apa yang dilakukan oleh kedua-dua tangan manusia, supaya Allah merasakan
kepada mereka sebahagian dari (balasan) perbuatan yang mereka lakukan,
mudah-mudahan mereka kembali (bertaubat)’
(Ar-Rum : 41).
Manusia dikatakan menggunakan
sumber semulajadi untuk kepentingan ekonomi semata-mata dan meminggirkan
persoalan alam sekitar di dalam perencanaan pembanganunan duniawi. Pertimbangan
yang mengenepikan wajaran yang adil terhadap alam sekitar inilah yang menjadi
katalis kepada kerosakan alam sekitar. Sedangkan Allah tidak mengutuskan
manusia dan makhluk lainnya ke alam ini bukan untuk merosakkan tetapi
sebaliknya sebagai seorang hamba yang
perlu mengabdikan diri kepadaNya. (Mohd Bustaman 1997). Firman Allah yang
bermaksud :
“Tidakku utuskan
jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepadaku” (Surah :
Sekiranya manusia sedar akan
tanggunjawabnya sebagai seorang hamba Allah, sudah pasti mereka tidak akan
melakukan kerosakan di alam ini. Sekiranya amanah ini tidak dilaksanakan, maka
manusia telah ingkar. Setiap keingkaran yang dilakukan itu merupakan
penentangan kepada hukum Allah dan setiap penentangan itu merupakan satu dosa
yang sudah pasti akan dibalas kelak.
Justeru, Islam meletakkan hukum
halal dan haram sebagai satu etika yang boleh melentur setiap tindakan umatnya.
Namun, etika ini hanyalah dipatuhi oleh mereka yang benar-benar beriman kepada
Allah yang diertikatakan sebagai manusia yang bertaqwa. Konsep ketaqwaan ini
merupakan manifestasi keseluruhan etika yang disaran, diwajib dan ditetapkan
oleh Allah kepada hambaNya. Sekiranya ketaqwaan itu tinggi, maka tinggilah
etika hidup seseorang itu, dan sebaliknya ketaqwaan yang rendah akan
merendahkan darjat dan martabat seseorang itu.
Al-Quran dan Falsafah Alam Sekitar
Alam sekitar sangat diperlukan oleh
manusia. Manusia memerlukan tempat tinggal, makanan, minuman dan lain-lain
kemudahan, Kesemua keperluan dan kemudahan ini melibatkan penerokaan alam
sekitar sama ada untuk mendirikan bangunan, mendapatkan makanan dan minuman
atau sumber jaya yang penting bagi menjamin kelansungan dan kesejahteraan hidup
manusia.
Namun begitu, perkara yang lebih
penting bagi manusia berkaitan alam sekitar ialah untuk memperjelaskan lagi
sifat-sifat Allah dan pembangkit kesedaran tentang sifat ketuhanan. Alam tabii
juga merupakan simbol yang memberi petunjuk bagi memudahkan manusia dalam
menempuh cabaran kehidupan. Bulan, bintang dan matahari misalnya menjadi
petunjuk arah dan waktu, di samping menjadi petunjuk tentang betapa hebatnya
sifat Allah s.w.t. (Zaini 1993).
Di samping mengetahui manfaat alam
sekitar kepada manusia, kewujudan dan konsep manusia mestilah juga difahami
setepatnya bagi memahami konsep Islam terhadap alam tabii. Hal ini penting
kerana manusia merupakan central being dalam alam tabii dan mempunyai tempat
atau kedudukannya yang khusus dalam struktur alam tabii. Hakikatnya manusia
merupakan sebahagian daripada alam tabii, tetapi manusia mempunyai peranan dan keistimewaannya yang
tersendiri berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain (Zaini 1993).
Setiap kejadian dan ciptaan di alam
ini bertujuan untuk memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada manusia. Manusia
berhak ke atas ciptaan Allah untuk menjamin kelangsungan hidup di alam ini.
Komponen alam sekitar seperti air dan udara serta sumber galiannya adalah
juzuk-juzuk penting untuk aktiviti pembangunan sesebuah negara. Dengan ini,
manusia akan mempergunakan alam sekitar untuk tujuan tersebut dan sekiranya
manusia tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, alam sekitar
mengalami kerosakan.
Berkaitan hal ini, Allah telah
menetapkan etika-etika tertentu tentang bagaimana manusia boleh bertindak ke
atas alam sekitar yang merupakan sebahagian daripada ciptaan Allah dengan
firmannya yang bermaksud :
‘dan janganlah
kamu berlebih-lebihan (melampaui batas). Sesungguhnya Allah membenci mereka
yang berlebih-lebihan’
(Al-Maidah :
87).
Manakala di dalam surah Al-Qashash
pula, Allah menegaskan bahawa perbuatan berlebihan-lebihan iaitu eksploitasi
secara melampaui terhadap alam sekitar itu
suatu perbuatan yang amat dibenci olehNya . Firman Allah yang bermaksud
:
‘dan janganlah
kamu melakukan kerosakan di bumi ini, sesungguhnya Allah membenci mereka yang
melakukan kerosakan’ (al-Qashash : 77).
Berdasarkan ayat-ayat di atas,
jelas memperlihatkan unsur-unsur etika yang seharusnya dipatuhi dan
dipraktikkan oleh manusia terhadap alam ini sekiranya mereka ingin selamat dari
segala bentuk ancaman alam sekitar sama ada disebabkan oleh manusia atau
ancaman tabii. Manusia harus bertanya kepada diri sendiri, sama ada tindakannya
mengeksploitasi alam sekitar itu akan memberi kesan berbalik kepeda mereka atau
tidak.
Penutup
Adalah penting sekali diingatkan
bahawa al_Quran bukanlah sebuah buku teks sains yang mengandungi
huraian-huraian terperinci tentang segala kejadian dan unsur-unsurnya. Ia hanya
memberi kerangka kasar atau clue dan
terpulanglah kepada manusia untuk menggunakan pemikiran yang diberi untuk
mengkaji dan mengamati sesuatu dengan cara yang lebih teliti (Zakaria, 1991).
Bumi yang dipijak, langit yang
dijunjung dan alam sekitar seluruhnya adalah anugerah Allah yang terlalu tinggi
nilainya. Tanggungjawab manusialah untuk memakmurkan alam ini dengan sebaik
mungkin. Sewajarnyalah, manusia yang dibekalkan dengan akal yang sempurna
memikirkan akibat yang akan terjadi hasil dari tindakan yang dilakukan hari
ini. Masa depan manusia dan alam sekitar yang cemerlang sebenarnya terletak
pada corak kehidupan yang kita amalkan sekarang (Abu Bakar 1998).
Justeru, melalui amalan etika alam
sekitar yang disarankan oleh al-Quran adalah sebaik-baik panduan untuk manusia
berinteraksi dengan persekitaran sejagat sekiranya manusia ingin bebas dari
ancaman dan tindak-balas berbalik oleh persekitaran seperti kejadian tanah
runtuh dan sebagainya.
Rujukan
Abdul Monir Yaacob. 1998. Manusia. Dlm.
Abu Bakar Yang (pnyt.), Alam sekitar
anugerah Tuhan: 95-100. Kuala Lumpur : Jabatan Alam Sekitar, Kementerian
Sains dan Teknologi & Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Abu Bakar Abdul Majeed. 1998. Alam
sekitar. Dlm. Abu Bakar Yang (pnyt.), Alam
sekitar anugerah Tuhan: 1-12. Kuala Lumpur : Jabatan Alam Sekitar,
Kementerian Sains dan Teknologi & Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Jamaluddin Md Jahi. 2000. Pengurusan
alam sekitar di Malaysia : Isu dan cabaran. Dlm. Jamaluddin Md. Jahi (pnyt.), Pengurusan persekitaran di Malaysia: isu dan
cabaran. Bangi. 9 - 29.
Jamaluddin Md. Jahi. 1996. Impak pembangunan terhadap alam sekitar.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jamaluddin Md. Jahi. 1998.
Persekitaran fizikal dan keperluan manusia: antara undang-undang, pengurusan
dan kekangan. Seminar FSKK Ke-3: Peranan ilmu sains kemasyarakatan dan
kemanusiaan dalam pembangunan negara. Fakulti Sains Kemasyarakatan dan
Kemanusiaan, UKM, Bangi, 10-19 Ogos.
Mohd Bustaman Abdul Aziz. 1997. Al-Quran, manusia dan alam sekitar:
61-61. Majalah Backbench. Kuala
Lumpur.
Mohd Bustaman
Abdul Aziz, Samsu Adabi Mamat. 2001.Al-Quran, Manusia, Dan Falsafah
Alam Sekitar. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaini Ujang. 1993. Islam dan alam
sekitar. Dlm. Zaini Ujang, Seyyed Hossein Nasr & Ziauddin Sardar, Islam dan alam sekitar: 1-49. Kuala
Lumpur: Institut Kajian Dasar.
Zakaria Awang Soh. 1991. Kecanggihan alam semester: antara wahyu
dengan pengetahuan sains. Siri Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti
Kebangsaan Malaysia, 19 Februari. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
No comments:
Post a Comment