ALAM SEKITAR
Alam
sekitar aset paling bernilai dianugerahkan Allah S.W.T kepada manusia dan
seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah. Dengan hamparan hutan menghijau, sungai membekalkan sumber
air, bukit-bukau dan gunung-ganang terpacak kukuh memukau mata memandang. Demikian
indahnya khazanah alam ciptaan Allah untuk manusia agar dapat melalui kehidupan
di dunia dalam aman sejahtera dan tenteram jiwa. Namun, arus pemodenan dan
pembangunan sudah menghanyut dan melalaikan manusia sehingga sewenang-wenangnya
menodai sumber alam tanpa memikirkan akibatnya. Esei ini akan menerangkan kegiatan manusia yang merosakkan alam
sekitar dan tindakan yang perlu untuk mengatasi masalah ini.
Apa yang terjadi memang menyedihkan apabila
kawasan hutan belantara semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan. Penebangan
balak secara besar-besaran tanpa kawalan dan tanpa pendekatan pemuliharaan yang
baik boleh melenyapkan warisan negara yang amat bernilai. Hidupan liar akan pupus akibat kerakusan
manusia. Kita tahu negara ada kawasan hutan diwartakan sebagai Taman Negara dan
Hutan Simpan tetapi kawasan hutan yang lain seharusnya dikawal supaya spesies
hidupan liar berada di habitat sepatutnya dan sentiasa kekal membiak demi
ekologi hutan. Kita tidak mahu melihat lagi seperti dilaporkan dalam akhbar di kawasan
Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah, baru-baru ini. Ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan beratus-ratus
pokok balak, termasuk kayu berkualiti ditebang. Kejadian itu menggambarkan sikap buruk sesetengah pihak
yang tidak mengendahkan undang-undang dan bertindak menurut nafsu serakah untuk
mencari keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekologi hutan dan
habitat hidupan liar di kawasan itu. Banjir
dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut
garis panduan. Lantas, kawasan tadahan
hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke
kawasan lain.
Satu lagi tabiat
buruk mengganggu alam sekitar ialah sikap membuang sampah di merata tempat. Menurut
kajian, umumnya setiap pengguna di Malaysia dianggarkan mewujudkan 0.9 hingga 1
kilogram sampah-sarap atau sisa setiap hari. Pengguna kita dianggarkan menjana
lebih kurang 20 tan metrik sampah-sarap setiap tahun. Dalam hal ini, senario
sampah-sarap berselerak di merata kawasan tanpa mengendahkan undang-undang yang
terpampang pada papan tanda amaran menjadi pemandangan lazim. Seringkali kita
lihat orang yang tidak bertanggungjawab ini gemar untuk membuang sampah
dicelah-celah pokok bunga, dalam pasu pokok bunga, dalam longkang dan
sebagainya. Pembakaran sampah secara terbuka turut menyumbang ke arah
kemusnahan alam sekitar. Contoh lain, orang ramai suka membuang sampah ke dalam
sungai. Kesannya ialah merosakkan sungai, membahayakan hidupan akuatik dan
boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan banjir mudah berlaku.
Langkah-langkah
yang perlu diambil untuk mengatasi masalah kerosakan alam yang dilakukan oleh
manusia ialah berusaha membentuk masyarakat yang lestari. Amalan pengunaan
lestari sebenarnya amat mudah untuk dipraktikkan oleh pengguna. Untuk
menggalakkan amalan penggunaan lestari ini, masyarakat perlu belajar berbelanja
mengikut keperluan mereka. Rancang dulu perbelanjaan
anda. Sebaiknya, buat senarai barangan yang diperlukan dan belilah barangan
hanya bila ia diperlukan. Satu kemestian apabila membeli barangan ialah membaca
label secara terperinci. Label mengandungi maklumat asas seperti kandungan
pemakanan, tarikh luput, logo-logo berkaitan alam sekitar ataupun sama ada ia
diperbuat daripada hasil bahan kitar semula. Apabila membeli, lihat pada
pembungkusan produk tidak kira bekas, botol atau kotak. Beli produk yang
menyokong pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula. Cara ini
dapat mengurangkan terhasilnya sisa pepejal. Ketika keluar membeli-belah juga
amalkan membawa bersama beg sendiri dari rumah. Elakkan menggunakan beg plastik
terutamanya yang memakan masa untuk dilupuskan. Sebabnya, salah satu daripada
sampah yang sering dibuang adalah pembungkus barangan harian yang dibeli
termasuk beg plastik yang digunakan untuk membawa barangan tersebut. Mungkin
tidak semua barangan perlu dibeli. Contohnya, anda boleh menanam sendiri
sayuran di kawasan rumah termasuk menggunakan teknik hidroponik yang turut
menjurus kepada amalan pengunaan lestari. Malah, cara ini bukan sahaja dapat
memastikan sayuran yang dimakan segar dan bebas bahan kimia racun perosak,
tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga.
Selain itu,
pengguna juga boleh menjimatkan sumber bahan bakar dengan berusaha mengurangkan
pengunaan kenderaan untuk ketempat-tempat yang berdekatan. Bercerita tentang
penjimatan ini, pengguna juga perlu mengambil kira pengunaan peralatan elektrik
di rumah kerana ia juga merupakan antara penyumbang utama kepada pembaziran
tenaga dan turut mempercepatkan pemanasan global. Mulakan dengan membeli
peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga. Kini, banyak jenama telah mengambil
langkah mengeluarkan produk penjimatan tenaga dalam usaha untuk mengurangkan
pemanasan global. Ataupun, pilih barangan yang bersesuaian seperti pengunaan
lampu kalimantang yang empat kali lebih cerah daripada mentol walaupun
kedua-duanya menggunakan kuasa watt yang sama. Malah ia juga tahan lapan kali
lebih lama berbanding mentol.
Kesimpulannya,
manusia diperlukan untuk memelihara alam sekitar bukan untuk memusnahkan alam
sekitar. Janganlah kita sebagai manusia yang berakal terlalu mengikut nafsu
sehingga melupakan kepentingan alam sekitar. Peliharalah alam sekitar untuk
generasi akan datang. Sekiranya telah berlaku kerosakan alam sekitar, segeralah
ambil langkah-langkah untuk memulihara alam sekitar . Sekiranya semua ini
diamalkan, ia bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih
sihat malah mampu mengekalkan kehijauan alam serta menjimatkan perbelanjaan. Jadi,
ubahlah sikap bermula hari ini. Jadilah pengguna yang bertanggungjawab terhadap
alam sekitar bagi memastikan ia dapat terus diwarisi oleh generasi akan
datang.
RUJUKAN
Harian Metro, 4 Februari 2009
http://www.utusan.com.my
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment